PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tersusun bagi menyelesaikan isu Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kelulusan di negeri ini melalui kaedah penempatan semula, penyediaan tapak alternatif serta pemberian tanah yang bersesuaian.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang seimbang selain mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu berkaitan seusai Majlis Pelancaran Inisiatif Transformasi Kecerdasan Buatan Industri Pulau Pinang di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) sebentar tadi.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menekankan bahawa pendirian Kerajaan Negeri terhadap pembinaan baharu tanpa kelulusan adalah tegas.
“Malah, pendekatan toleransi diambil terhadap struktur sedia ada, namun penguatkuasaan tetap dilaksanakan terhadap pembinaan baharu yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Sehubungan itu, pendekatan kita (Kerajaan Negeri) adalah untuk menyelesaikan isu RIBI yang sedia ada melalui proses pemutihan atau penempatan semula, (tetapi) pada masa sama, kita perlu tegas terhadap pembinaan baharu tanpa kelulusan supaya masalah ini tidak berterusan,” jelasnya lanjut.
Mengulas isu berkaitan RIBI di kawasan Bukit Mertajam, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti tapak alternatif yang sesuai bagi menyelesaikan perkara tersebut.
“Isu berkaitan RIBI tanpa kelulusan bukan hanya berlaku di Pulau Pinang, malah turut melibatkan negeri lain di negara ini, namun (Kerajaan Negeri) menegaskan bahawa pengurusan perkara tersebut di negeri ini lebih terkawal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kelajuan penyelesaian sesuatu kes bergantung kepada merit serta ketersediaan tapak alternatif yang sesuai dan kita akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi semua pihak,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa penganjuran satu perhimpunan berkaitan sebuah RIBI berhampiran Hospital Bukit Mertajam yang sepatutnya berlangsung pada 7 Mac lalu telah dibatalkan selepas kedua-dua pihak mencapai permuafakatan hasil perbincangan bersama pihak berkuasa.
Difahamkan, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang provokasi selain memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI