Laksana polisi anti monopoli gender – Soo Huey

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey mencadangkan tiada monopoli gender melebihi 70 peratus sebagai wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kelak, sama ada lelaki atau perempuan.

Cadangan itu sebagai reaksi pada ucapan penggulungan Bajet 2014 oleh Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng yang menyarankan sekurang-kurangnya 30 peratus ADUN dan Ahli Parlimen adalah wanita.

“Saya bersetuju bahawa kita (Kerajaan Negeri) sangat memerlukan lebih ramai ADUN wanita kerana separuh daripada populasi rakyat Pulau Pinang.

“50 peratus (824,000 orang) adalah lelaki dan 50 peratus (823,700 orang) adalah wanita di Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu sidang media di DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Chong Eng berkata, sepatutnya usaha menggalakkan lebih ramai wanita terjun dalam arena politik serta tadbir urus Kerajaan Negeri perlu digiatkan, bukan terbatas pada jawatan wakil rakyat.

Nada yang sama turut diluahkan oleh ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang).

Dua wakil rakyat lelaki lain yang menyertai sidang media sama, ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Teh Lai Heng (ADUN Komtar) masing-masing turut menyokong polisi anti monopoli gender tersebut.