BAYAN LEPAS – Pagar di Zon Perindustrian Bebas Fasa 3 (FIZ 3) dekat Jalan Kampung Jawa yang menghubungkan Jalan Sultan Azlan Shah ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu akan dibuka setiap hari mulai 5.30 pagi hingga 11.00 malam berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr. Mohd Suhairi Arumugam Abdullah berkata, cadangan pelanjutan tempoh pembukaan pagar tersebut antara lain demi mengurangkan konflik lalu lintas di bulatan Bayan Baru dan sekitarnya.
“Pada masa kini, pagar di sini dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 5.30 pagi hingga 8.00 malam untuk kegunaan pekerja-pekerja kilang.
“Cadangan pelanjutan tempoh pembukaan pagar FIZ 3 di Jalan Kampung Jawa ini diharap akan melancarkan aliran lalu lintas dengan menyediakan laluan alternatif termasuk kepada orang awam di kawasan ini, serta meningkatkan kapasiti jalan dan keselamatan di kawasan ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 23 Disember 2025.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa cadangan pelanjutan tempoh masa pembukaan pagar FIZ 3 telahpun dipanjangkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta mendapatkan pandangan daripada Persatuan Syarikat Perindustrian Bebas, Pulau Pinang (FREPENCA).
Beberapa Ahli Majlis MBPP lain iaitu Benji Ang Ming Quan, Chan Soon Aun, Koay Gaik Kee serta beberapa penguat kuasa JKDM turut sertai dalam sidang media tersebut di sini.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB