Laluan baru bas percuma CAT Batu Kawan mulai 14 Januari ini

Admin

BUKIT TAMBUN – Beberapa laluan baharu bagi perkhidmatan bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) Batu Kawan  ditambah bagi memanfaatkan lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Goh Choon Aik berkata, laluan baru tersebut akan berkuatkuasa mulai 14 Januari ini yang mana ia merangkumi lebih banyak kawasan berkepadatan penduduk seperti Taman Merak dan Taman Tasek Mutiara.

“Selepas dilancarkan pada 6 Julai tahun lepas, sambutan terhadap perkhidmatan bas CAT Batu Kawan amat menyedihkan yang mana hanya kira-kira 200 penumpang sahaja dicatatkan dalam satu hari.

“Lanjutan itu, pihak Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan ke peringkat Persekutuan dan permohonan pertukaran laluan ini telah diluluskan dalam surat bertarikh 8 Januari lalu.

“Justeru, laluan baru bas CAT Batu Kawan akan melalui tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tambun, SK Batu Kawan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu kawan, SK Bukit Tambun, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Keng Koon, SK Taman Merak, SK Mutiara Impian serta SMK Simpang Empat.

“Selain itu, tiga buah bank iaitu Hong Leong Bank, Public Bank dan Maybank juga termasuk dalam laluan baru selain pasaraya C-Mart dan Klinik Kesihatan Tasek Mutiara,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Turut serta, Jurutera Seksyen Pengangkutan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mustaqin Alpi, Pengurus Kanan Rapid Penang, Osman Amir serta Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Saibi Ab. Majid.

Mengulas lanjut, Choon Aik berkata, laluan khas bagi perkhidmatan CAT Batu Kawan turut diperkenalkan bermula dari Jeti Batu Musang khusus untuk membawa pelajar-pelajar dari Pulau Aman ke sekolah-sekolah terlibat pada jam 6.30 pagi dan 2.30 petang pada setiap hari persekolahan.

“Diharapkan dengan perubahan laluan ini akan dapat meningkatkan lagi jumlah penumpang bas bagi laluan-laluan baharu yang diperkenalkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan perkhidmatan bas percuma CAT sebagai salah satu alternatif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini dengan pembiayaan sebanyak RM15 juta setahun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD