Laluan jalan Balik Pulau – Teluk Bahang siap sepenuhnya

TELUK BAHANG – Kerja-kerja pembaikan cerun di Jalan Teluk Bahang mencapai status memuaskan dan telah siap 51 hari lebih awal dari tarikh yang ditetapkan iaitu pada 23 Disember 2023.

Menurut Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati kerja-kerja pembinaan di tapak telah siap sepenuhnya pada 6 November lalu.

“Sebagai makluman, kerja-kerja pembaikan cerun ini adalah menggunakan kaedah ‘Tie Back Wall’ manakala kerja-kerja pembinaan sistem saliran menggunakan kaedah ‘Cascade and Toe Drain’.

“Ekoran terdapat desakan pekebun dan pengguna yang berulang alik sekitar sini, maka laluan telah dibuka lebih awal,” ujarnya semasa Lawatan Menteri Kerja Raya ke tapak Kerja Pembaikan Cerun di Laluan FT006 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang pada 26 November 2023 baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari serta ketua-ketua jabatan.

DATO’ Sri Alexander Nanta Linggi semasa sesi sidang media baru-baru ini.

Tambah Alexander, Kementerian Kerja Raya telah meluluskan kerja pembaikan di Seksyen 46.8 yang telah menelan kos sebanyak RM1.073 juta, manakala Seksyen 45.40 berjumlah RM726,000.

“Selari dengan semangat kempen MYJalan yang dilaksanakan, kementerian sentiasa berusaha memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya yang mengalami kerosakan dilaksanakan dengan terancang demi memastikan pembangunan infrastruktur berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan,” jelasnya lanjut.

GIMIK pelancaran’ flag off’ laluan Balik Pulau – Teluk Bahang kini dibuka kepada umum.

Sebelum ini, Zairil turut memaklumkan bahawa Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang itu ditutup bagi melancarkan kerja-kerja pembinaan selain untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI