GEORGE TOWN – Dengan peruntukan sebanyak RM476,530, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memasang lampu hiasan laser interaktif jenis projektor dengan penderia gerakan (motion sensor) di Linear Park, berhampiran Padang Kota Lama.
Bercakap kepada pemberita, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berharap projek tersebut akan menambah satu lagi daya tarikan pelancongan ke Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di sini.
“Selain daripada pemasangan dan penyelenggaraan lampu hiasan bagi tiga perayaan utama, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, MBPP juga menjalankan pemasangan lampu hiasan di kawasan-kawasan tarikan orang ramai serta kawasan pelancongan bagi meningkatkan keceriaan di kawasan tersebut,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, di sini pada 10 November 2025.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, atas cetusan ilham dalam melaksanakan projek ikonik tersebut.
Difahamkan, pihak berkuasa tempatan berkenaan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyiapkan kerja-kerja pemasangan 25 unit projektor bagi projek tersebut.
Setiap unit projektor dilengkapi fungsi pintar seperti kamera inframerah luaran (outdoor infrared captured camera); 70 unit kesan video interaktif tiga dimensi (3D interactive effect) dengan durasi berubah setiap tiga minit; pembesar suara terbina dalam (built-in sound); paparan laser berdefinisi tinggi (HD picture); kalis air IP65 serta konsep video kreatif (creative video concept).
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, MBPP akan terus menjalankan kajian kesesuaian pemasangan pelbagai jenis lampu hiasan pada masa hadapan di kawasan-kawasan tumpuan.
“Kita (PBT) akan terus menerokai teknologi-teknologi baharu dalam pencahayaan hiasan bagi meningkatkan daya tarikan orang ramai dan pelancong ke negeri Pulau Pinang,” jelasnya lagi.
Selain Rajendran, barisan Ahli Majlis MBPP turut menyertai majlis pelancaran projek tersebut.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT