LANDSKAP sering dianggap sekadar elemen ‘kosmetik’ yang menghiasi bahu jalan dan kawasan lapang.
Namun, menurut Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), SHAQHRONY MD. YUSOFF, peranan landskap sebenarnya jauh lebih besar daripada itu.
Mengambil contoh mudah, beliau menjelaskan bahawa landskap mampu memberikan nilai tambah kepada sektor hartanah.
“Saya boleh katakan, perumahan yang mempunyai landskap berpotensi meningkatkan nilai hartanah antara lima hingga 20 peratus,” ujarnya ketika sesi ditemu bual khas oleh wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, MUHAMMAD IQBAL HAMDAN di Menara MBSP baru-baru ini.
Tambah beliau, kebergantungan manusia terhadap pokok sebenarnya sangat tinggi, namun sering tidak disedari.
“Tetapi orang tidak nampak atau tidak perasan, mungkin disebabkan kurang pendedahan.
“Contoh mudah, apabila kita meletakkan kenderaan, kebanyakan orang akan memilih kawasan yang redup di bawah pokok berbanding kawasan terbuka tanpa teduhan.
“Ini adalah fitrah dan refleks semula jadi manusia,” jelasnya.
Shaqhrony turut menegaskan bahawa antara manfaat terbesar landskap ialah penghasilan oksigen secara percuma serta peranannya sebagai penapis pencemaran.
“Pencemaran tidak dapat dielakkan, namun kita perlu mencari cara untuk menstabilkan semula keadaan.
Kita tidak boleh meninggalkan penggunaan kenderaan, tetapi pada masa sama perlu mengurangkan kesan sampingannya.
“Pokok merupakan agen semula jadi yang berkesan kerana tidak memerlukan kos yang tinggi, hanya perlu perancangan penanaman yang saintifik untuk membantu mengurangkan pencemaran,” katanya.
Beliau turut berkongsi contoh dari Surabaya, Indonesia, yang mana usaha penanaman satu juta pokok berjaya menurunkan suhu bandar tersebut kira-kira dua darjah Celsius.
Dalam usaha mengekalkan dan menambah landskap, pelbagai cabaran turut dihadapi, termasuk isu infrastruktur seperti longkang rosak serta aduan berkaitan gangguan parkir.
“Ada pemilik rumah yang mahu pokok di hadapan kediaman mereka ditebang atas alasan ingin mengubah suai atau membesarkan laluan masuk.
“Jika melibatkan utiliti seperti longkang mungkin ada pertimbangan tetapi mereka sering terlepas pandang bahawa pokok itulah yang menyejukkan kawasan tersebut.
“Landskap memberikan teduhan dan oksigen, jangan sampai suatu hari nanti kita terpaksa ‘membayar’ untuk mendapatkan oksigen,” tegasnya.

Selain itu, aspek penyelenggaraan turut menjadi cabaran utama kerana landskap melibatkan elemen hidup.
“Seperti rambut dan kuku yang perlu dipotong, pokok juga memerlukan penjagaan berkala.
“Oleh itu, perancangan yang rapi dari segi perbelanjaan dan pengurusan amat penting dalam profesion landskap,” tambahnya.
Menyentuh mengenai isu setempat pula, Shaqhrony mengakui beliau berhasrat melihat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini mampu menjadikan landskap lebih hijau dan mampan.
“Saya ambil peluang bercakap untuk didik orang ramai.
“Kalau kita pergi Yokohama Jepun contohnya, kita dapat melihat inisiatif yang mereka ambil dengan memperbanyakkan laluan pejalan kaki, kemudahan bagi kenderaan mikromobiliti dan menanam lebih banyak pokok, sekali gus mengurangkan aliran trafik.
“Kita di sini bagilah empat lorong atau 10 lorong tetapi tetap tidak cukup dan trafik sentiasa meningkat.
“Keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya pemanasan global meskipun pelbagai inisitif telah dilaksanakan oleh pihak Majlis,” maklum beliau yang pernah tinggal dua minggu di Yokohama bagi mempelajari selok-belok mengenai landskap.