Langkah pemutihan ‘kilang haram’ hingga Ogos

SEBERANG JAYA – Kesemua 506 ‘kilang haram’ yang dikenal pasti beroperasi aktif di sekitar Seberang Perai digesa supaya segera mengemukakan pelan bangunan serta mematuhi beberapa syarat asas keselamatan berwajib sebelum penghujung bulan Ogos ini, demi mengelak langkah perundangan selanjutnya daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif bagaimanapun tidak pula menjelaskan bahawa para pengusaha kilang tanpa lesen terbabit akan diberikan lesen sementara, sebagai langkah moratorium atau pergantungan serta penangguhan kegiatan penguatkuasaan berwajib atas persetujuan bersama antara mereka dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Kita (MPSP) telah membawa garis panduan 2013 pemulihan untuk kilang-kilang yang tidak dapat kelulusan daripada majlis pada 2013.

“Dan, kita juga telahpun memberi masa untuk kilang-kilang ini mengemukakan pelan sehingga bulan Ogos 2015,” katanya sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlisnya, M. Satees pada sesi Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Majlis bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan seorang ahli majlis lain, Loh Joo Huat turut menyertai sidang media tersebut.

Daripada 506 kilang yang beroperasi tanpa kelulusan MPSP, difahamkan, 59 buah berada dalam zon perindustrian dan baki 447 kilang lagi berada di luar pelingkungan zon perindustrian.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, pengusaha-pengusaha kilang terbabit sepatutnya boleh melaksanakan kewajipan masing-masing, memandangkan MPSP sebelum ini telahpun menganjurkan tiga siri dialog pada bulan Januari 2013 serta 30 April 2015 dan 15 Jun lalu.

Pun begitu, jelasnya, MPSP secara pentadbiran akan tetap menganjurkan suatu program jelajah, khusus untuk menjayakan program pemutihan kilang-kilang haram berkenaan mulai bulan September depan.

Tambah beliau, para pemilik premis perniagaan dan sekumpulan arkitek yang berdaftar dengan MPSP turut akan dijemput menyertai program jelajah tersebut, demi membantu menyelesaikan masalah berbangkit tersebut.

“Ini adalah cara proaktif untuk menyelesaikan masalah dan juga merupakan cabaran bagi pihak MPSP itu sendiri untuk industri yang tiada kelulusan majlis,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Maimunah turut menjelaskan bahawa sebuah kuari di Kubang Hulu tidak lagi beroperasi, selepas pemiliknya diberikan notis berhenti kerja pada tahun 2013, disebabkan tidak mematuhi syaratsyarat yang digariskan oleh PBT.

Menurutnya, langkah penguatkuasaan bersepadu itu turut membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);