SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri mengambil langkah lebih tegas dalam usaha memelihara alam sekitar menerusi penguatkuasaan larangan penuh penyediaan beg plastik jinjit di lapan kategori premis perniagaan utama, berkuat kuasa mulai 1 September depan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, premis yang terlibat adalah pasar raya besar dan pasar raya; gedung serbaneka dan kedai serbaneka; restoran makanan segera; kedai serbaneka di stesen minyak; kedai rangkaian; serta farmasi dan klinik.
“Premis-premis yang terlibat sama sekali tidak dibenarkan menyediakan atau memberikan beg plastik jinjit kepada pelanggan, sama ada secara percuma mahupun berbayar.
“Langkah tegas ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Bulanan Majlis (MBM) di Menara Bandaraya MBSP, di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemilik dan pengusaha premis perniagaan yang terlibat supaya merujuk Garis Panduan Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang 2025 bagi mendapatkan maklumat serta perincian lanjut mengenai pelaksanaan dasar tersebut.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN