Lapangan Terbang Kulim, KM tunggu perbincangan lanjut tiga pihak

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya menunggu perbincangan lanjut dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Kerajaan Negeri Kedah berhubung status cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim.

Katanya, jawapan lisan Menteri di Dewan Rakyat pada 12 Mac 2019 antara lain memberitahu bahawa cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) untuk penelitian Kerajaan.

“Maksudnya, cadangan memang sudah bermula sejak beberapa tahun lepas, tak ada keputusan (tapi) baru-baru ini dibangkitkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

“Perkara ini akan dibentang untuk perbincangan dalam mesyuarat Majlis (Perancangan) Fizikal Negara (MPFN).

“Sebagai makluman tambahan, saya pun pernah bangkit dua minggu lepas, dalam Majlis Mesyuarat Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Saya bangkitkan perkara ini, keputusan dicatatkan adalah Menteri Pengangkutan diarah untuk berbincang dengan (Kerajaan) Negeri Kedah dan Pulau Pinang mengenai cadangan ini.

“Jadi, kita menunggu mesyuarat atau perbincangan selanjutnya oleh tiga pihak,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di sini tadi.

Memetik sumber jawapan lisan sama, Kon Yeow memberitahu bahawa Kementerian turut mempertimbang cadangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) untuk meningkatkan kapasiti tahunan penumpang daripada 6.5 juta kepada 12 juta.

“Bagi menampung kos pembesaran PIA, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan bersama-sama MAHB sedang mengkaji model pembangunan serta kaedah pembiayaan yang sesuai agar projek pembesaran ini dapat dilaksanakan dengan cara yang ‘cost effective’,” ujarnya memetik jawapan lisan Menteri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain turut serta.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING