Laporan polis dibuat susulan fitnah babitkan Ketua Menteri

Admin

DATUK KERAMAT – Satu laporan polis telah dibuat berhubung penularan mesej dan berita palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul berkata bahawa mesej yang disebarkan melalui platform media sosial sejak dua hari lalu adalah fitnah yang sengaja dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Diharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat menjalankan siasatan terperinci dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang sengaja menyebarkan fitnah ini.

“Pengguna media sosial di negara ini mencecah 18 juta sehari, dan fitnah seperti ini boleh menimbulkan suasana tidak aman serta tenteram antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” tegasnya yang ditemui di perkarangan Balai Polis Jalan Patani di sini sejurus membuat laporan polis sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan wakil Pejabat Timbalan Ketua Menteri I yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

Pada sidang media berkaitan, Zahar turut menunjukkan salinan mesej berkaitan yang berbunyi:

“Majoriti penduduk Pulau Pinang terdiri dari bukan Islam dan kebisingan masjid di waktu pagi mengganggu orang bukan Islam sedang nyenyak tidur dan juga mengganggu ketenteraman awam. Oleh itu, Kerajaan DAP menghadkan aktiviti solat di masjid dan solat subuh tidak dibenarkan sama sekali’ yang turut tertera wajah Kon Yeow.”

Mengulas lanjut, Zahar menyatakan bahawa Kon Yeow tidak pernah campur tangan atau membuat sebarang keputusan berhubung hal ehwal agama Islam di negeri ini.

“Penyebaran fitnah berkaitan agama adalah isu paling sensitif di Malaysia, justeru perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI