PERAI — Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perai meraikan mercu tanda penubuhannya yang ke-100 menerusi penganjuran SJKT Perai 100 Years Excellence Fun Walk di perkarangan sekolah berkenaan, di sini pada awal pagi tadi.
Acara larian ria anjuran Persatuan Bekas Pelajar SJKT Perai seakan berjaya menyatukan alumni, warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat bagi menyemarakkan sambutan satu abad sekolah berkenaan yang diasaskan sejak tahun 1926.
Semasa merasmikan acara tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa tempoh 100 tahun penubuhan SJKT Perai merupakan lambang ketekunan, pengorbanan barisan pendidik, serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan barisan alumni.
“Tahun 1926 hingga 2026 bukanlah satu tempoh yang singkat.
“Genap satu abad bermakna sekolah ini bukan sahaja telah berdiri teguh selama 100 tahun, malah telah menjadi sebahagian daripada lembaran sejarah, perkembangan dan nadi kehidupan masyarakat di Perai.
“Kehadiran para alumni hari ini membuktikan bahawa kejayaan seseorang murid tidak seharusnya berakhir dengan kejayaan peribadi, sebaliknya disusuli keinginan untuk memberi kembali (giving back) kepada sekolah dan komuniti,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut menambah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited menyokong pendidikan inklusif dan berkualiti selari dengan Visi Penang2030 demi melahirkan generasi yang cemerlang serta berdaya saing dalam bidang teknologi dan ekonomi masa hadapan.
Sebagai bukti komitmen tersebut, menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil telah menyalurkan peruntukan bernilai RM2.42 juta pada April lalu bagi menyokong pembangunan 28 SJKT dan 11 tadika di bawah SJKT di seluruh negeri.
Daripada peruntukan berkenaan, tambahnya, sejumlah RM1.34 juta disalurkan menerusi Penang Education Council (PEC) bagi pemerkasaan infrastruktur digital serta program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk penyediaan smartboard, televisyen pintar, dan robotik.
Manakala baki RM768,901, beliau berkata bahawa ia disalurkan terus kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 28 SJKT bagi tujuan penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran.
“Usaha berterusan juga sedang digerakkan bagi membantu sekolah-sekolah bantuan kerajaan mengukuhkan hak milik tapak tanah mereka bagi menjamin kestabilan dan ekosistem pendidikan yang lebih selamat untuk generasi akan datang.
“100 tahun pertama telah kita lalui dengan penuh sejarah, cabaran dan kecemerlangan.
“Pada hari ini, kita bukan sekadar meraikan pencapaian lalu, tetapi membuka lembaran baharu untuk 100 tahun yang akan datang,” ujarnya.
Berucap sebelum itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Perai menyatakan komitmen untuk projek pembinaan sekolah baharu dalam satu penggal.
“Sudah lepas tiga tahun, dalam tempoh kita (ditaklifkan sebagai Kerajaan Negeri), kita nak bina tiga bangunan baru untuk sekolah Tamil… Rajaji, Sungai Bakap, dan Juru.
“Kalau hasrat kita capai, ini akan jadi satu penggal yang bersejarah bagi kita, yang mana dalam satu penggal kita dapat ‘bina’ tiga sekolah Tamil untuk rakyat kita,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Guru Besar SJKT Perai, T.C. Sritharan serta Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SJKT Perai, P. Mogana.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT