Larian ‘Rock To Rock’ kembali 18 Jun, sasar kutipan dana RM50,000

Admin
SOON Lip Chee (kanan) dan Micheal Smeeton dalam majlis berkaitan di Hard Rock Hotel Penang, Batu Ferringhi pada 2 Februari 2023.

TANJONG BUNGA – Edisi kesembilan Larian ‘Rock To Rock’ kembali lagi pada 18 Jun 2023 di sini bermula seawal jam 6.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Menerusi acara itu, pihak penganjur menyasarkan untuk mengutip sumbangan dana berjumlah RM50,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Tabung Makanan Mutiara (Mutiara Food Bank) bagi tujuan agihan makanan berkualiti kepada kira-kira 280 keluarga terpilih.

Pengurus Besar Hard Rock Hotel Penang, Micheal Smeeton dalam ucapannya memberitahu bahawa acara Larian ‘Rock To Rock’ yang dianjurkan sejak tahun 2010 antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran awam serta mengumpul dana bagi membantu komuniti lokal serta meningkatkan kualiti hidup golongan terpilih.

Menerusi acara larian tersebut, beliau memberitahu beberapa pertubuhan yang tidak berorientasikan keuntungan berjaya dibantu.

“Antaranya, Rumah Seri Cahaya berjaya dibantu pada tahun 2010 dan 2015); Crystal Family Home and Association of Rehab of the Disabled (2011), Asia Community Service Stepping Stone Centre (2012), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Permatang Tinggi (2013), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yok Eng (2014), Sekolah Kebangsaan Batu Ferringhi (2017) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (2019) dengan projek ambulans untuk kehidupan,” ujarnya.

GAMBAR antara wakil penaja acara Larian ‘Rock To Rock’ 2023.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang berucap selepas itu berkata pihaknya berharap kolaborasi antara Hard Rock Hotel Penang dan Mutiara Food Bank dalam menjayakan acara Larian ’Rock To Rock’ 2023 berjaya mengumpul dana sumbangan yang disasarkan sebanyak RM50,000 bagi menjayakan projek agihan lebihan makanan berkualiti kepada keluarga terpilih peringkat lokal.

“Saya tahu Larian Rock To Rock adalah salah satu daripada banyak inisiatif program amal yang telah diperjuangkan oleh hotel ini selama 10 tahun.

“Hard Rock Hotel Penang juga terkenal dengan penglibatan aktifnya dalam kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“(Sehubungan itu,) saya berbesar hati untuk mengatakan ini, Hard Rock Hotel Penang telah dipacu menepati motonya – Luangkan Masa untuk Bersikap Baik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD