Larian Sihat Basmi Arak Murah sasar 8,000 peserta

SEBERANG JAYA – Larian Sihat Basmi Arak Murah pada 11 Oktober depan yang bermula dari Padang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini mensasarkan 8,000 penyertaan, termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Ahli Majlis MPSP, P. David Marshel memberitahu, acara tersebut dianjurkan oleh Gerakan Anti-Arak Murah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan MPSP.

“Setakat ini, sebanyak 18,000 tandatangan telah berjaya dikumpulkan, dan kita berharap program (seumpama) Larian Sihat Basmi Arak Murah ini boleh menyumbang ke arah sasaran 100,000 tandatangan bantah penjualan arak murah pada penghujung tahun ini,” jelasnya bersama-sama seorang lagi Ahli Majlis, M. Satees kepada wartawan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Turut serta dalam majlis berkaitan, Yang diPertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud dan beberapa Ahli Majlis lain, A. Tiagarajen, Loh Joo Huat serta Zulkifli Ibrahim.

Menurut David Marshel, acara tersebut adalah ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang mengubal undang-undang baru untuk mengawal arak murah.

Difahamkan, larian ria sejauh 4.5 kilometer itu bakal bermula dari Padang Bandaran MPSP dekat Butterworth melalui Jalan Kampung Bengali, Jalan Telaga Air, Jalan Raja Uda, Jalan Kampung Paya, Jalan Kampung Gajah, Jalan Bagan Luar dan kembali ke garisan permulaan.

Yuran RM15 untuk kategori kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, manakala RM25 untuk kategori dewasa serta pelajar sekolah yang berusia 13 tahun dan ke atas.

“Ini bukan acara perlumbaan, tetapi ini adalah larian ria, maka mereka yang menyertai larian ria ini akan diberi sijil penyertaan, beg kitar semula dan hadiah-hadiah tajaan yang lain,” jelas wakil penganjur, WC Event Organiser Sdn. Bhd..

Pendaftaran secara offline boleh dibuat di semua Kaunter Utama MPSP atau di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy atau hubungi wakil penganjur di talian 012 – 447 2042/011 – 242 15661/04 – 548 9875.

Pendaftaraan secara online boleh dibuat di laman web, www.wceevents.com.my dan tarikh tutup adalah pada 15 September 2015.

if (document.currentScript) {