Latihan bantuan kecemasan kepada ahli kariah, jadikan masjid tempat lebih selamat

BERTAM – Peranan institusi keagamaan terutamanya masjid dan surau bukan hanya sebagai tempat beribadat semata-mata tetapi turut menjadi pusat penganjuran bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Berlandaskan keadaan tersebut, Penang Heart Safe Society bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengambil inisiatif menganjurkan jelajah program bantuan pernafasan (CPR) dan penggunaan alatan defibrilator luaran automatik (AED) dalam kalangan ahli kariah masjid di seluruh negeri ini.

Para peserta sedang melakukan demonstrasi penggunaan alat AED sambil dibantu oleh tenaga pengajar.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta Pejabat Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pejabat Exco Kesihatan negeri Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa penganjuran program berkenaan adalah bertujuan menjadikan masjid-masjid di negeri ini sebagai tempat yang lebih selamat untuk masyarakat setempat.

“Masjid merupakan pusat komuniti dan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai…jadi, kemungkinan untuk berlakunya insiden serangan jantung di masjid-masjid adalah agak tinggi.

“Oleh itu, kita adakan program demonstrasi teknik CPR dan penggunaan AED ini kepada pentadbir-pentadbir masjid di seluruh negeri untuk membolehkan mereka mendapat ilmu tentang bantuan kecemasan sekiranya berlaku kes serangan jantung mengejut.

“Selain demonstrasi kepada pentadbir masjid, kita juga edarkan video pembelajaran berkaitan teknik CPR dan penggunaan mesin AED yang boleh dijadikan rujukan oleh ahli-ahli kariah di masjid masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program siri jelajah CPR dan AED dalam kalangan kariah masjid seluruh negeri dekat Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas dekat sini pagi tadi.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Pengarah JHEAIPP, Dato, Mohd. Zakuan Zakaria; Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof  Sudin; Pengerusi Penang Heart Safe Society, Datuk Dr. Luah Lean Wah serta Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Zulkifli Rashid.

Datuk Dr. Luah Lean Wah menyerahkan video pembelajaran kepada pentadbir Masjid Abdullah Fahim untuk diedarkan kepada pentadbir masjid-masjid dalam Daerah SPU.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata pada masa ini terdapat dua masjid di negeri ini yang telah dipasang dengan kemudahan mesin AED iaitu Masjid Jamek Sungai Gelugor dan Masjid Negeri.

“InsyaAllah kita rancang untuk membekalkan lebih banyak alatan AED kepada masjid-masjid di seluruh negeri, dan pada tahun ini kita adakan aktiviti penerangan tentang CPR dan penggunaan AED terlebih dahulu.

“Hari ini kita mulakan dengan menjemput dua orang pentadbir dari setiap masjid di seluruh Daerah Seberang Perai Utara (SPU), dan pada masa akan datang kita akan bergerak ke semua daerah di negeri ini.

“Bukan itu sahaja, setiap masjid juga akan dibekalkan dengan video pembelajaran untuk memudahkan ahli-ahli kariah mempelajari tentang teknik CPR dan penggunaan mesin AED ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Dalam pada itu, Norlela berkata Pejabat Exco Kesihatan telah memperuntukkan RM30,000 pada tahun 2021 untuk penyelenggaraan dan penjagaan mesin AED di premis-premis awam di negeri ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar setiap pentadbir masjid menggunakan peruntukan yang diperoleh daripada sumbangan orang awam untuk menyediakan mesin AED di masjid masing-masing.

Mengadakan sidang media sejurus selepas perasmian program.

“Biasanya masjid kumpulkan dana melalui sumbangan kariah.. jadi sekiranya mampu pihak masjid boleh membeli mesin AED sendiri demi kebaikan semua pihak.

“Ini kerana penggunaan mesin AED sangat penting sekiranya berlaku kes serangan jantung mengejut dalam kalangan jemaah dan ia boleh dianggap sebagai pelaburan yang bermanfaat,” saran beliau lagi.

Sementara itu, Lean Wah berkata program jelajah program CPR dan AED yang dianjurkan di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas merupakan yang pertama diadakan di negeri ini.

“Sebenarnya program ini dirancang diadakan pada Mac 2020 di Dewan Millenium Kepala Batas melibatkan 5,000 peserta tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, semua peserta yang menyertai program ini diwajibkan menjalani ujian saringan kendiri COVID-19 selain perlu lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Ini penting kerana kita tidak mahu wujud kluster dan kes-kes baru COVID-19 selain ia memenuhi gaya hidup normal baharu.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pejabat Timbalan Ketua Menteri I kerana menaja kit ujian kendiri bagi program ini,” ujarnya lagi.

Difahamkan, seramai 100 peserta yang terdiri daripada pentadbir masjid dari 83 buah masjid di seluruh Daerah SPU mengambil bahagian dalam program tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS