Latihan kemahiran bantu golongan asnaf & belia tercicir tingkat taraf sosio ekonomi – Abdul Malik

Admin
ABDUL Malik (dua dari kiri) pada majlis pemeteraian Nota Persefahaman Bersama (NoU) di antara MAINPP, ZPP dan ABM Wilayah Utara.

GEORGE TOWN – Program-program latihan kemahiran dalam industri pembinaan yang bakal dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) diharap dapat meningkatkan taraf hidup golongan asnaf dan belia yang tercicir di dalam akademik.

Hasrat itu dinyatakan Yang Di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Kerjasama Latihan MAINPP bersama ABM Wilayah Utara di Komtar, sebentar tadi.

Abdul Malik berkata MAINPP dan pihak ZPP telah menerima pelawaan untuk menjalinkan kerjasama bersama ABM untuk melaksanakan program-program latihan kemahiran dalam industri pembinaan untuk golongan berkaitan.

“Menjadi hasrat kita (MAINPP dan ZPP) bukan sahaja membantu golongan asnaf agar hidup dalam keadaan selesa dengan memberikan bantuan, tetapi kita ingin melihat mereka ini keluar dari belenggu hidup.

“Apa yang kita hajat dan mahu lihat ialah golongan asnaf yang menerima bantuan ini dapat tingkatkan taraf hidup dan menjadi pemberi zakat dan bantuan kepada insan lain suatu hari nanti.

“Dengan memberikan golongan asnaf dan belia tercicir ini dengan kemahiran yang betul, mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan terlibat sama di dalam program anjuran kerjasama ini,” ujarnya merangkap Pengerusi ZPP.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Utara, Mohd. Nazri Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings, Abdul Latif Hitam dan wakil dari CIDB Malaysia dan Wilayah Utara.

Serentak itu, pada majlis berkaitan turut berlangsung pemeteraian Nota Persefahaman Bersama (NoU) di antara MAINPP, ZPP dan ABM Wilayah Utara.

Mengulas lanjut, Abdul Malik memberitahu ABM Wilayah Utara merupakan anak syarikat CIDB Holdings Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh CIDB Malaysia dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya.

“ABM Wilayah Utara ini adalah sebuah badan dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk membangunkan industri pembinaan selaras dengan penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) 1994 (Akta 520),” ujarnya.