MPSP terima penarafan cemerlang 5 Bintang Pengauditan Pengurusan Kewangan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima penarafan Lima (5) Bintang, iaitu tahap cemerlang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun 2017, Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 6 Ogos lalu di bawah Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti).

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam sidang media di Bilik Mesyuarat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pagi ini.

Menurut Jagdeep, pencapaian terkini pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan membabitkan sembilan eleman di bawah Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti).

Sembilan elemen tersebut adalah Kawalan Pengurusan, Kawalan Bajet, Kawalan Terimaan, Kawalan Pengurusan Perolehan, Kawalan Perbelanjaan, Kawalan Pengurusan Kumpulan Wang Pinjaman dan Deposit, Kawalan Pengurusan Aset dan Stor, Kawalan Pengurusan Pelaburan dan Pinjaman serta Kawalan Pengurusan Penyata Kewangan.

“Tahniah atas pencapaian penarafan Lima Bintang menerusi Laporan Ketua Audit Negara kali pertama buat MPSP yang memperlihatkan pencapaian yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Pengauditan kali pertama MPSP adalah pada tahun 2010 dengan pencapaian Tiga Bintang (Baik) seterusnya kali kedua pada 2013 (Tiga Bintang) dan pada tahun 2017 merupakan kali ketiga MPSP diaudit dengan pencapaian 90.10% iaitu tahap cemerlang Lima Bintang.

“(Dan) selepas ini, apa yang penting untuk dilakukan (oleh MPSP) adalah untuk mengekalkan pencapaian yang diterima ini pada masa-masa akan datang,” katanya yang menzahirkan rasa kagum dengan pencapaian PBT berkaitan sejak 2008.

Sementara itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang turut hadir pada sidang media berkenaan berkata, pihaknya akan memgambil maklum terhadap saranan Exco untuk mengekalkan pengiktirafan berkaitan.

Malah, MPSP mengambil pendekatan sendiri bagi memastikan prestasi kewangan berada pada tahap cemerlang iaitu dengan memperkenalkan konsep Pengauditan Sendiri atau ‘Self Auditing’ sejak tahun 2016.

“Menerusi konsep ini setiap Jabatan di bawah MPSP akan mengaudit sendiri pematuhan terhadap kriteria Pengurusan Kewangan sebelum diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Saya yakin bahawa MPSP kini merupakan antara PBT terbaik di negara ini berdasarkan pelbagai pencapaian yang diterima sama ada di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan juga negeri,” ujarnya yang bertekad untuk memastikan MPSP berada pada landasan terbaik kini.

Difahamkan, sejak 2015, Jabatan Audit Negara telah menaikkan penarafan cemerlang daripada Empat Bintang kepada Lima Bintang bagi memenuhi keperluan semasa sektor awam di samping memberi penilaian yang setara dengan penarafan oleh agensi lain.

Sebagai rekod, sejak 2009 sehingga kini, MPSP berjaya menerima 40 pengiktirafan sama ada di peringkat antarabangsa, nasional mahupun negeri dengan tiga rekod dipahat dalam Malaysia Book of Records.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN