Lau Keng Ee dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang baharu

Admin

GEORGE TOWN – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee dilantik sebagai Setiausaha Politik yang baharu kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau melafazkan angkat sumpah penerimaan jawatan dalam Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia yang disaksikan Kon Yeow dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Keng Ee, 43, juga merupakan Pengarah Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dan Parlimen Tanjong sejak tahun 2018.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008, beliau buat pertama kalinya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kota dengan majoriti lebih 5,000 undi dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada tahun 2013.

Ketika ditemui Buletin Mutiara, Keng Ee menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas pelantikan tersebut.

“Melihat kepada sejarah penglibatan dan pengalaman yang panjang dalam politik sejak tahun 1999, saya merasakan bahawa saya sudah cukup layak untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya sejak dari awal saya mula terlibat dalam kegiatan politik.

“Dengan pengalaman yang ada, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan amanah yang diberikan ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING