Laungan Azan di Pulau Pinang bertukar mulai Asar petang ini.

GEORGE TOWN – Bermula waktu Asar petang ini, masjid-masjid dan surau di Pulau Pinang akan melaungkan Sollu Fi Buyutikum (solatlah kamu di rumah) menggantikan Hayya A’alassalah (mari mengerjakan solat) dan Hayya A’alalfalah (mari menuju kejayaan).

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam sidang media Penyampaian Sumbangan Peruntukan Program Pengimarahan Masjid Negeri & Masjid Daerah 2020 tengah hari ini.

“Kita ikut arahan yang dikeluarkan, maka bermula waktu Asar petang ini, laungan azan akan ditukar kepada Sollu Fi Buyutikum daripada Hayya A’alassalah dan Hayya A’alalfalah.

“Bermula Asar ini juga, kita akan tutup masjid-masjid dan surau dari solat jemaah sempena Perintah Kawalan Pergerakan sehingga waktu Isyak 31 Mac ini.

“Bagaimanapun ianya bergantung kepada arahan pada masa tersebut (31 Mac), kalau ada perbezaan kita akan umumkan,” jelas Zakiyuddin merangkap Yang di-Pertua bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long dan wakil-wakil dari masjid negeri dan masjid-masjid daerah.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zakiyuddin hari ini turut menyampaikan sumbangan RM1 juta untuk bantu pengimarahan Masjid Negeri dan Masjid Daerah di Pulau Pinang.

“Bantuan ini adalah untuk penganjuran pelbagai aktiviti dan program yang akan dijalankan oleh masjid negeri dan daerah di Pulau Pinang tertakluk kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Memandangkan COVID-19 yang melanda kini, pihak masjid boleh menggunakan peruntukan ini bagi menyediakan alatan, kelengkapan pembersihan masjid untuk mencegah penularan wabak tersebut seperti penutup muka, sabun, hand sanitizer dan lain-lain kemudahan,” jelas Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI