Lawatan bagi memastikan pematuhan operasi pada tempoh PKP

Admin

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengadakan lawatan ke Flex Ltd (Plant 5) dekat sini bagi meninjau perjalanan operasi kilang berkenaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejurus tiba, beliau melalukan penyaringan suhu badan sebelum diberikan taklimat oleh Naib Presiden Flex Ltd., P. Viswanathan mengenai usaha yang dijalankan oleh pihak berkaitan dalam memastikan operasi dijalankan adalah mematuhi syarat-syarat PKP.

Chow Kon Yeow mendengar taklimat berkaitan perjalanan operasi kilang Flex Ltd sepanjang tempoh PKP.

Menurut beliau, pihaknya mengambil serius aspek keselamatan pekerja melalui langkah-langkah yang ketat seperti melakukan penyaringan suhu badan, menyediakan alat pensanitasi tangan, pelitup muka dan mengamalkan jarak sosial di semua sudut termasuk bilik mensyuarat, kantin serta bahagian pengeluaran.

Selain itu, juga mengubah waktu rehat pekerja kepada beberapa sesi untuk mengelakkan kesesakan di ruangan kantin, dan pada masa sama memastikan jarak sosial selamat dapat dipatuhi.

Malah, tambah Viswanathan, pekerja yang bekerja sepanjang tempoh PKP turut diberikan insentif khas.

Turut serta, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Kepenggunaan dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengurus Besar Flex Ltd., E.C Tang; Naib Presiden Bahagian Teknologi Maklumat, S.N. Lee dan Ketua Pegawai Operasi, Chew Pay Fern.

Mengakhiri lawatan selama kira-kira satu jam itu, Kon Yeow dibawa meninjau perjalanan operasi kilang berkenaan di bahagian pengeluaran produk.

Difahamkan, Flex Ltd. antara kilang yang terlibat dalam sektor pembuatan kritikal dan dibenarkan peroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) sepanjang tempoh PKP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS