Lawatan ke Dewan Undangan Negeri mampu tingkat literasi politik belia – ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Keputusan kerajaan menurunkan had usia layak mengundi kepada 18 tahun bukan sahaja memberi hak mengundi kepada anak-anak muda, tetapi perlu diimbangi dengan pendedahan dan literasi politik secukupnya.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, anak-anak muda perlu dibimbing supaya memiliki tahap literasi politik untuk memahami amalan demokrasi negara dalam pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen yang wajib ada pada seorang pemimpin.

TEH Lai Heng (dua dari kiri) menyaksikan wakil Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Komtar menyerahkan kertas kerja kepada Law Choo Kiang (dua dari kanan) pada sesi lawatan berkaitan di sini.

“Kemajuan sesebuah negeri hatta negara adalah penting termasuk memastikan infrastruktur yang disediakan memenuhi keperluan rakyat dan industri yang dilihat sebagai pemacu ekonomi.

 

Selain itu, pendidikan sivik juga penting bagi membentuk generasi muda yang mempunyai semangat patriotisme, mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai warganegara serta lain-lain konteks kemandirian.

 

“Oleh itu, saya memuji inisiatif Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Komtar kerana berjaya menganjurkan lawatan ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. Saya percaya lawatan seperti ini dapat memberi semangat, motivasi dan inspirasi kepada anak-anak muda dalam mencorak masa depan yang lebih gemilang khasnya kepada mereka yang berminat menceburi bidang politik,” ujarnya menerusi kenyataan media bertarikh 11 Jun 2023.

ANTARA ahli delegasi yang mengambil bahagian dalam lawatan ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang atas kesudian melapangkan masa menerima kehadiran delegasi JBPP Komtar baru-baru ini.

 

Gambar : ADUN