Lebih 110 usahawan terima manfaat Tabung Usahawan Tani sejak 2014- Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Sejak diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2014, Tabung Usahawan Tani (TUT) (sebelum ini dikenali sebagai Tabung Usahawan Tani Muda) telah berjaya memanfaatkan lebih 110 usahawan.

Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin berkata, program pinjaman mikro kredit berkenaan adalah salah satu usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam memberikan galakan kepada para pengusaha untuk menjadikan sektor industri asas tani sebagai kerjaya dan punca pendapatan.

“TUT menyediakan pinjaman tanpa faedah dengan jumlah maksimum RM6,000 kepada usahawan muda berumur bawah 40 tahun dan RM5,000 bagi yang berumur 60 tahun ke bawah dalam sektor pertanian, perternakan dan perikanan.

“Kerajaan Negeri juga kini dalam usaha meningkatkan jumlah bantuan pinjaman daripada RM5,000 kepada RM10,000, RM15,000 dan RM20,000 kerana saya yakin Industri Asas Tani kini merupakan salah satu sektor yang sedang berkembang pesat serta memerlukan modal yang tinggi,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri menggalakkan usahawan di negeri ini terutamanya yang berkaitan pertanian untuk mendapatkan pinjaman TUT bagi menambah modal atau meluaskan lagi produktiviti.

“Usahawan-usahawan muda boleh gunakan TUT untuk kembangkan perniagaan seterusnya mendapatkan geran lebih besar yang disediakan oleh agensi-agensi Persekutuan seperti TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp., Agro Bank dan lain-lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Mydin Bukit Mertajam, di sini pada 6 Oktober 2018.

Turut hadir, Pengarah LKIM, Rashid Nik Jusoh; Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Asas Tani LKIM Ibu Pejabat, Rahayu Che Rahalim dan Pengarah Pertanian Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Rozaidi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Afif menjelaskan, tujuan penganjuran karnival berkaitan adalah untuk mempromosi dan menjual hasil terkini yang dikeluarkan oleh para usahawan.

Pada karnival itu juga, seramai 28 orang nelayan yang ditimpa musibah baru-baru ini menerima Bantuan Bencana Nelayan dan sumbangan khairat kematian dengan kos keseluruhan berjumlah RM30,000.

Teks dan Gambar : SUNARTI YUSOFF