GEORGE TOWN – Usaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperluaskan penggunaan transaksi tanpa tunai menerusi Kempen Pearl Bayar & Menang 2.0 membuahkan hasil apabila kempen tersebut berjaya merekodkan 340,994 penyertaan sepanjang tempoh pelaksanaannya dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026.
Kempen yang dilancarkan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran pada 30 Mei 2025 itu turut mencatatkan 64,812 transaksi dengan jumlah kutipan mencecah RM25.1 juta, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan dan penerimaan masyarakat terhadap kaedah pembayaran digital.
Difahamkan, dalam tempoh sama, aplikasi Pearl One Touch Penang merekodkan 75,624 muat turun, membuktikan keberkesanan inisiatif pendigitalan yang diperkenalkan MBPP dalam memudahkan urusan pembayaran pelbagai perkhidmatan bandar raya.

Kempen berkenaan menawarkan peluang kepada pengguna yang membuat pembayaran minimum RM50 menggunakan Pearl Wallet, Pearl Mastercard, MyDebit, Visa atau Mastercard serta memuat naik resit ke aplikasi Pearl. Pengguna yang membuat pembayaran parkir harian menerusi aplikasi tersebut turut layak menyertai cabutan hadiah.
Bagi menghargai sokongan orang ramai, MBPP turut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta Chery Tiggo, lima motosikal elektrik Lytron EV dan pelbagai hadiah lain. Sebanyak 200 peserta akan disenarai pendek untuk cabutan akhir sebelum pemenang diumumkan menerusi platform rasmi MBPP.
Kemuncak kempen akan berlangsung menerusi ‘CHERY Drives Pearl Bayar & Menang 2.0 Festival 2026’ di Main Atrium, Sunshine Mall @ Sunshine Central dari 17 hingga 19 Julai depan dan dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Festival selama tiga hari itu turut menjadi pentas pelancaran Ekosistem Pembayaran Bersepadu Pearl serta Kempen Pearl Bayar & Menang 3.0.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan festival tersebut serta menyaksikan sendiri cabutan hadiah yang bakal memberi ganjaran kepada pengguna setia aplikasi Pearl.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT