Lebih 4 jam Ketua Menteri beri keterangan, bantu siasatan SPRM

Admin
KETUA Menteri.

GEORGE TOWN – Lebih empat jam Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi keterangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu terowong bawah dasar laut, tadi.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi hadir ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang dekat Jalan Sultan Azlan Shah pada 8.55 pagi dan keluar meninggalkan kompleks itu pada jam 1.20 petang.

“Saya telah memberi keterangan kepada SPRM sejak pukul 9 pagi dan fokusnya adalah terhadap projek terowong (bawah dasar laut).

“Dan, fokus pihak penyiasatan adalah pengesahan keputusan-keputusan (Exco Kerajaan Negeri) terhadap projek ini.

“Satu setengah jam untuk latar belakang (seperti) sekolah mana, bidang kuasa Exco apa, nak kena taip, (maka ambil masa) lama juga,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 7 Julai 2020.

GAMBAR Ketua Menteri diiringi pegawai ketika keluar dari bangunan SPRM Pulau Pinang dekat Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada jam 1.20 petang tadi.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut mengesahkan tiada sebarang dokumen diserahkan kepada pihak penyiasatan, pada sesi memberi keterangan berkaitan.

Malah, beliau memberitahu bahawa pihaknya turut tidak diminta untuk hadir lagi ke Ibu Pejabat SPRM negeri tersebut pada masa hadapan, bagi membantu siasatan berwajib.

Semalam, Kon Yeow yang juga Naib Presiden Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan menyatakan kepada pemberita bahawa beliau sendiri tidak tahu soalan penyiasat terhadapnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD, ALVIE CHENG & YEOH YIN YIN
Video : LAW SUUN TING & VICTOR SEOW