Lebih 50 peratus muka baru bakal dilantik sebagai Ahli Majlis

SEBERANG JAYA – Lebih 50 peratus muka baru termasuk tiga wakil dari UMNO bakal membarisi lantikan sebagai Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata jumlah itu merangkumi 12 orang muka baru bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 13 orang bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Mesyuarat Exco pada 27 September lalu telah meluluskan pelantikan 23 orang Ahli Majlis MBPP dan 22 orang bagi MBSP mulai 1 Oktober 2023 sehingga 31 Disember 2023.

“Walau bagaimanapun, cadangan nama untuk pelantikan tiga Ahli Majlis bagi kouta UMNO masih belum diterima setakat ini.

“Justeru, kelulusan bagi lantikan tiga Ahli Majlis yang mewakili UMNO akan diangkat secara berasingan kepada pihak berkuasa negeri setelah pencalonan diterima bagi melengkapkan jumlah penuh Ahli Majlis di kedua-dua PBT,” katanya pada sidang media yang diadakan dekat Menara Bandaraya MBSP di sini semalam.

Pasa masa sama, Mooi Lye berkata mesyuarat Exco juga bersetuju meningkatkan kadar elaun tetap bulanan Ahli Majlis kedua-dua PBT daripada RM2,500 kepada RM4,000.

” Tuntutan elaun kehadiran mesyuarat juga ditingkatkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 untuk bilangan mesyuarat maksimum 17 kali manakala elaun telefon pula kekal sebanyak RM300.

“Namun begitu, saya ingin mengingatkan kepada semua Ahli Majlis untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin kerana prestasi mereka akan dinilai dari semasa ke semasa selaras dengan kenaikan elaun yang diterima,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBPP