Lebih 50 rumah pam sedia cegah banjir – Exco

KEPALA BATASLebih 50 rumah pam yang sedia ada di Pulau Pinang, termasuk 24 di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) diharap mampu menangani kemungkinan banjir di negeri berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian sejurus selepas merasmikan Program Pemuliharaan Kualiti Air dan Hari Terbuka Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) 2013 dekat Rumah Pam Lahar Endin di sini baru-baru ini.

“Rumah-rumah pam ini mampu berfungsi untuk mengepam air keluar dari kawasan yang ditakungi air.

“Ini (Rumah Pam Lahar Endin) pam air terbesar di Asia Tenggara,” ujarnya pada sidang media bersama-sama wartawan.

Pengarah JPS Negeri, Kapt. (B) Ir. Anuar Yahya dan Ir. Saiful Nizam Sanusi (Jurutera Daerah SPU) turut hadir pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru rakyat supaya terus memulihara kualiti air sungai di negeri berkenaan memandangkan sumber air mentah tempatan adalah sangat terhad.

Katanya lagi, langkah pemuliharaan air sungai sebenarnya menelan kos yang lebih besar berbanding budaya memelilhara sumber semula jadi itu.

“Walaupun program (pemuliharaan) ini kerap diadakan, namun, ianya agak terhad kerana memerlukan kos yang tinggi sedangkan peruntukan yang diperolehi itu diagihkan untuk tujuan pembangunan yang lain,” ujar beliau.

Kon Yeow bersama-sama hadirin lain turut menyempurnakan majlis melontar bola selut ke dalam tasik takungan air banjir di rumah pam air di sini sebagai langkah memulihara air tersebut.