Lebih 600 sertai ‘plogging’, kumpul lebih RM200,000 untuk kebajikan pesakit hospital kanser Mount Miriam

Admin
PARA sukarelawan ‘plogging’ dari firma korporat Boston Scientific menyampaikan cek replika sumbangan amal berjumlah RM25,000 kepada Joan Lim-Choong (tiga dari kanan) sambil disaksikan oleh Chong Eng (empat dari kanan) dalam majlis berkaitan di Taman Belia pada pagi tadi.

PULAU TIKUS – Dengan tema Bersama Mencegah Kanser, lebih 600 sukarelawan daripada pelbagai firma korporat pada awal pagi tadi menjayakan ‘plogging’ atau acara larian sambil mengutip sampah-sarap sekitar kawasan rekreasi negeri yang terkenal di Taman Belia, di sini.

CHONG Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng memuji Hospital Kanser Mount Miriam dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selaku penganjur bersama majlis amal berkaitan sehingga berjaya mengumpul dana sumbangan sebanyak RM237,717 untuk Tabung Kebajikan Penyakit Kanser Mount Miriam, walaupun pihak hospital bukan kerajaan berkenaan menyasarkan sumbangan terkumpul sebanyak RM200,000 sahaja.

“Saya begitu teruja dengan acara yang berdasarkan pembangunan komuniti ini dengan melibatkan pelbagai peringkat umum bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap dua matlamat penting iaitu sokongan kepada para pesakit kanser dan sokongan pada alam semula jadi.

“Usaha penganjurkan acara ini sangat bermakna iaitu mengumpulkan dana bagi membantu para pesakit kanser yang memang memerlukan pelbagai bentuk bantuan sokongan untuk pulih kembali, yang mana selain menyumbang dalam bentuk duit ringgit, para peserta (plogging) jua menyumbang masa dan tenaga untuk kebaikan alam semulajadi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam majlis perasmian penutup berkaitan di Taman Belia pada 6 Ogos 2022.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa kolaborasi antara pihak Hospital Kanser Mount Miriam dan MBPP menganjurkan acara amal berkaitan dan ’plogging’ tersebut sebenarnya sejajar dengan hasrat Visi Penang2030 yang digagaskan peringkat Kerajaan Negeri hari ini iaitu mewujudkan daya huni penduduk dengan persekitaran paling bersih dan hijau di tanah air ini pada tahun 2030 nanti.

JOAN Lim-Choong

Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Kanser Mount Miriam, Joan Lim-Choong turut menzahirkan rasa teruja atas partisipasi semua pihak berkepentingan dalam menjayakan acara ‘plogging’ dan majlis kutipan sumbangan amal yang dianjurkan secara fizikal pada kali ini, setelah hampir dua tahun dikekang dek pandemik COVID-19.

“Melalui penganjuran acara ini, bukan sahaja untuk mengutip sumbangan amal untuk para pesakit kanser, malah kita juga berharap dapat menggalakkan masyarakat untuk lebih prihatin.

“Acara kolektif ini boleh mewujudkan semangat untuk hidup secara bersama yang berbeza dalam kalangan masyarakat, demi pesakit kanser dan alam semula jadi,” jelasnya lagi.

GAMBAR para sukarelawan daripada pelbagai organisasi dan firma korporat yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara sebelum acara perasmian penutup acara ‘plogging’ dengan tema Bersama Mencegah Kanser di Taman Belia pada pagi tadi.

Pada kesempatan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penang Green Council (PGC), Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Synergy 101 Solutions, Uni-Hygiene, Intel-Technology dan Dreamz Foundation kerana turut menggembleng penyertaan awam bagi menjayakan acara ‘plogging’ pada pagi ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjaja acara cabutan bertuah yang dianjurkan serentak dengan majlis perasmian penutup ’plogging’ tersebut seperti MBPP, G Hotel, Cititel Express Penang, Entopia, The Wembley St Giles Hotel, Shangri-La Rasa Sayang Resort dan Hard Rock Penang.

Difahamkan, Boston Scientific, Ivy Technology, RK South Asia Sdn. Bhd. dan Lonpac Insurance masing-masing membuat sumbangan amal sebanyak RM25,000 kepada hospital bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan, sementara RM10,000 disumbangkan oleh Vitrox Technologies.

GAMBAR para sukarelawan dari firma korporat Lonpac Insurance menyerahkan cek replika sumbangan amal berjumlah RM25,000 kepada wakil penganjur program berkaitan di sini tadi.
AR. Yew Tung Seang

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir dan berucap pada majlis komuniti lokal itu.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB