‘Lebih Baik Cegah’ tema Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini

GEORGE TOWN – ‘Lebih Baik Cegah’ dipilih sebagai tema Sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan (HADK) yang bakal disambut selama sebulan mulai 19 Februari 2021.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang, Elmariah Chung memberitahu bahawa tema tersebut membawa maksud signifikan terhadap usaha pihaknya untuk mencegah individu daripada terjebak dalam masalah penagihan dadah.

“Kita (AADK) menekankan konsep pencegahan yang mana kita hendak mencegah mereka yang belum terlibat dengan penagihan dadah bagi mengelakkan munculnya penagih-penagih baharu.

Elmariah Chung memberi penerangan berkaitan kawasan berisiko tinggi penagihan dadah di negeri ini.

“Konsep ini juga memberi penekanan kepada usaha mencegah seseorang daripada terjebak semula dalam aktiviti penyalahgunaan dadah kerana kita percaya bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat.

“Sempena sambutan ini juga, pelbagai aktiviti telah dirancang di peringkat negeri Pulau Pinang tetapi kita berdepan kekangan kerana penularan pandemik COVID-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Justeru, kita akan meneliti semula perancangan-perancangan tersebut agar sesuai dilaksanakan mengikut normal baharu,” katanya kepada Buletin Mutiara Ketika ditemui dekat Bangunan Persekutuan, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, walaupun statistik penyalahgunaan dadah di Pulau Pinang menunjukkan penurunan iaitu daripada 9,084 orang pada 2018 kepada 8,987 orang (2019) namun ia masih memerlukan usaha jitu daripada pelbagai pihak.

“Berdasarkan keadaan semasa, sebanyak 1,497 operasi telah dijalankan di seluruh negeri Pulau Pinang sejak 2017 hingga 2020 dengan 7,245 orang telah ditahan kerana positif dadah dan daripada jumlah ini seramai 343 adalah wanita.

“Sebanyak 25 lokasi penagihan telah dikenal pasti dan kesemua kawasan ini telah diletakkan di dalam Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).

“Oleh itu, saya mengharapkan supaya semua pihak pengambil peranan dan tanggungjawab untuk menangani masalah dadah yang kini menjadi isu sejagat,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, pada tahun 2021, AADK Pulau Pinang menyasarkan untuk menghijaukan dua kawasan berisiko tinggi iaitu Mukim 1 dekat Penaga dan Mukim 21 di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Kita juga mahu memperkasakan lagi penglibatan pemimpin melalui kemahuan politik serta pemerkasaan komuniti dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kita juga melancarkan strategi perang saraf melalui kempen ‘Pulau Pinang Lawan Ancaman Dadah’ bagi menangangi masalah berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah di negeri ini,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN