Lebih RM20 juta diperuntuk bagi pembangunan masjid dan surau sejak 2008

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak RM20,374,305 diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi tujuan pembangunan masjid dan surau di negeri ini sejak tahun 2008 sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen berkata, jumlah tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri begitu memberikan penekanan terhadap pembangunan syiar Islam di negeri ini.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri juga berjaya membina 14 buah masjid dan tiga surau di kelima-lima daerah di negeri ini.

“Ini sememangnya angka menarik yang mana dalam masa 10 tahun mentadbir, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berjaya membina 17 institusi Islam dan sekaligus menyangkal tuduhan kononnya Kerajaan Negeri mengabaikan pembangunan agama Islam,” ujarnya pada sidang media dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini pagi tadi.

Hadir sama, ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan juga ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

Sebelum itu, Zi Sen dalam soalan lisannya membangkitkan mengenai senarai masjid dan surau yang telah menerima peruntukan pembangunan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEIPP) serta senarai masjid serta surau yang siap sejak tahun 2008 mengikut lokasi dan daerah di negeri ini.

Dalam pada itu, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menyatakan, jumlah peruntukan yang disalurkan tersebut berjaya menangkis serangan pihak pembangkang kononnya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sebagai tidak mesra komuniti Islam.

“Soalan daripada YB Daniel (Zi Sen) jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan sama sekali (pembangunan agama Islam) serta tidak melanggar perlembagaan, dan paling penting (Kerajaan Negeri) menghormati Islam sebagai agama rasmi.

“Malah, belanjawan yang dibentangkan Ketua Menteri sendiri memperlihatkan peningkatan peratusan yang diberikan kepada institusi-institusi Islam,” jelasnya.

Terdahulu, semasa membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2019, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan peruntukan sebanyak RM56.8 juta bagi tujuan mengukuhkan institusi Islam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG