BEROPERASI sejak 1900, kedai pakaian Pitchay Gunny di Jalan Penang terus mempertahankan legasi perniagaan keluarga yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Bermula sebagai kedai yang menawarkan pelbagai barangan import dari England, perniagaan bersejarah itu melalui pelbagai perubahan zaman sebelum memberikan tumpuan kepada penjualan pakaian lelaki sekitar era 1960-an.

Pewaris generasi keempat, SYED AHAMED MOHAMED GHANI, 62, berkata bahawa perniagaan itu diasaskan oleh moyangnya, Pitchay Gunny, sebelum diwarisi oleh datuknya, Mohamed Abu Bakar, dan kemudian bapanya.
Menurutnya, pada peringkat awal, premis tersebut menawarkan pelbagai barangan buatan England, termasuk sikat, gunting, kasut, payung dan paip rokok yang menjadi pilihan pelanggan ketika itu.
Menariknya, nama Pitchay Gunny diambil daripada nama pengasasnya sendiri, manakala asal usul ejaan “Gunny” yang dikaitkan dengan nama “Ghani” turut menjadi sebahagian daripada sejarah perniagaan keluarga itu.

“Dahulu, kalau orang hendak mencari barangan buatan England, mereka boleh mendapatkannya di sini.
“Pelbagai jenis barangan dijual dan pelanggan daripada golongan berada juga datang membeli-belah di kedai ini,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto LAW SUUN TING di premis perniagaan itu di Jalan Penang di sini baru-baru ini.
Mengimbau perjalanan perniagaan tersebut, Syed Ahamed berkata bahawa kedai berkenaan turut melalui tempoh sukar ketika Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, yang menjejaskan operasi serta bekalan barangan import.
Selepas mengambil alih perniagaan daripada bapanya yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 1991, beliau meneruskan operasi kedai itu demi memastikan legasi keluarga terus bertahan.
“Saya mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan, tetapi memilih untuk tidak bekerja dalam bidang tersebut demi meneruskan legasi perniagaan keluarga.
“Walaupun saya belajar kejuruteraan, bapa berpesan supaya saya menjaga perniagaan keluarga.
“Jadi, saya memilih untuk menceburi bidang perniagaan dan meneruskannya sehingga hari ini.
“Alhamdulillah, sekarang anak saya pula sudah menyertai perniagaan ini dan dia merupakan generasi kelima yang meneruskan legasi keluarga,” ceritanya.
Syed Ahamed turut mengusahakan perniagaan tukaran wang asing, selain beberapa perniagaan lain bersama keluarganya.

Menurutnya, premis Pitchay Gunny di Jalan Penang mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perniagaan keluarga itu.
“Sebelum ini, perniagaan tersebut juga pernah mempunyai lokasi operasi lain, termasuk di Komtar dan Kompleks Bukit Jambul,” katanya.
Kekalkan pelanggan setia
Mengulas sambutan pelanggan, Syed Ahamed memberitahu bahawa Pitchay Gunny masih mempunyai pelanggan setia dari pelbagai negeri, termasuk Johor dan Kedah, selain pelanggan dari Singapura yang terus berkunjung ke premis itu ketika berada di Pulau Pinang.
“Sebahagian pelanggan yang datang juga pernah menetap di Pulau Pinang kini bekerja di Kuala Lumpur dan Johor, mereka masih menjadikan kedai ini sebagai destinasi membeli-belah apabila pulang bercuti atau menyambut perayaan.
“Mereka suka datang sendiri, mencuba pakaian dan memilih beberapa helai pakaian dalam satu kunjungan,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 70 peratus pelanggannya terdiri daripada rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu yang mencari pakaian berjenama dan berkualiti.
Selebihnya ialah pelanggan daripada masyarakat India dan Cina serta pelancong asing.
Difahamkan, selain pakaian lelaki seperti seluar panjang, seluar pendek, kemeja, kemeja-T dan kasut, kedai itu turut menawarkan pelbagai aksesori, termasuk tali pinggang dan pakaian dalam lelaki.
Dengan kira-kira 10 jenama ditawarkan, Pitchay Gunny memberikan tumpuan kepada pakaian berkualiti bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mementingkan mutu dan pilihan produk.
“Kami pernah mencuba jualan dalam talian ketika pandemik COVID-19, namun pelanggan masih cenderung mengunjungi kedai secara fizikal untuk mencuba pakaian sebelum membuat pembelian,” katanya lagi.
Berdepan cabaran kos, tenaga kerja
Mengakui landskap perniagaan runcit semakin mencabar, Syed Ahamed menjelaskan bahawa peningkatan kos operasi dan kesukaran mendapatkan pekerja merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi.
Menurutnya, kedai pakaian tradisional yang beroperasi di premis jalanan semakin berkurangan apabila lebih banyak perniagaan memilih untuk beroperasi di pusat beli-belah.
“Cabaran memang banyak, terutama apabila kos semakin meningkat dan sukar mendapatkan pekerja.
“Perniagaan seperti ini memerlukan pekerja yang sanggup bekerja dalam tempoh yang panjang, tetapi perkara itu semakin sukar sekarang.
“Sebab itu, buat masa ini saya memilih untuk mengekalkan operasi di lokasi sedia ada kerana lebih mudah untuk diuruskan,” katanya.
Tambah beliau, Pitchay Gunny kini mempunyai kira-kira lima orang pekerja, selain dibantu ahli keluarga dalam menguruskan perniagaan.
Pada masa sama, beliau turut mengusahakan perniagaan butik abaya bersama isterinya.
Mengulas perancangan masa depan, Syed Ahamed berkata, beliau menyerahkan hala tuju pengembangan perniagaan kepada anaknya yang kini mula terlibat secara langsung dalam operasi syarikat.
Beliau berharap penyertaan generasi kelima itu dapat memastikan warisan Pitchay Gunny terus bertahan dan kekal relevan dalam landskap perniagaan yang sentiasa berubah.
Baginya, kelangsungan perniagaan keluarga itu bukan sekadar soal jual beli, sebaliknya merupakan tanggungjawab untuk memelihara legasi yang dibina sejak lebih satu abad lalu.