Lebih tiga juta pelitup muka diagihkan di seluruh Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Daripada pembelian 6 juta helai pelitup muka yang menjadi komitmen Kerajaan Negeri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejumlah 3,259,100 helai telahpun diagihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan di seluruh negeri ini.

Edaran tersebut menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow adalah termasuk kepada barisan hadapan atau frontliners; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-ADUN), Ahli-ahli Parlimen serta Pegawai Penyelaras KADUN bagi keperluan rakyat di kawasan masing-masing; agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah dan pihak-pihak yang memerlukan.

“Pengagihan tersebut masih diteruskan dari semasa ke semasa dan pada hari ini, kita (Kerajaan Negeri) amat berbesar hati menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Clubs in Region 1 (Penang Island) berupa sumbangan 40,000 helai pelitup muka bernilai RM26,600.00 kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Menerusi sumbangan tersebut, selain 6 juta yang dibeli oleh Kerajaan Negeri, sebanyak 527,210 helai pelitup muka adalah disumbangkan oleh pelbagai pihak ketiga,’’ katanya pada sidang media di sini tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Selain itu, Kon Yeow turut mengumumkan jumlah sumbangan terkumpul semasa Tabung Covid-19 Pulau Pinang sehingga hari ini iaitu berjumlah RM2,996,534.59.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulangi ingatan supaya semua pihak terus mengamalkan normal baharu bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Ogos ini.

“Amalkan amalan 4P iaitu, Penjarakan sosial; Pakai pelitup muka ketika di luar; Pencucian tangan menggunakan sabun dan Perhatikan gejala COVID-19,’’ serunya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD