Lega sektor perniagaan kembali bernafas – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Sektor perniagaan di negeri Pulau Pinang dilihat kembali pulih selepas hampir dua tahun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, peningkatan kehadiran pelancong domestik ke negeri ini sejak Oktober lalu telah merancakkan semula aktiviti perniagaan sekali gus memberikan kelegaan kepada para peniaga.

“Saya sendiri berasa amat lega apabila mendapati bahawa para peniaga dapat kembali bernafas dengan peningkatan kehadiran pelancong domestik ke negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Menteri bersama-sama pasukan Pusat Khidmat Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota ketika mengadakan jelajah mesra dan mengedar kalendar tahun 2022 pagi tadi.

“(Dan) diharapkan dengan pemulihan ini, maka sektor perniagaan yang sudah begitu lama terkesan dek pandemik COVID-19 akan bertambah baik pada masa akan datang,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan jelajah mesra sambil mengedarkan kalendar tahun 2022 kepada penduduk serta peniaga membabitkan sekitar kawasan Parlimen Tanjong bermula di Lorong Popus, Jalan Hutton, Jalan Transfer dan kompleks makanan New World Park dekat sini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sebanyak 7,000 kalendar telah diedarkan kepada penduduk dan peniaga di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota, Komtar dan Pengkalan Kota.

“Pengedaran kalendar pada penghujung tahun merupakan aktiviti tahunan oleh Pusat Khidmat Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota yang dijalankan sejak lebih 10 tahun lalu.

Menyantuni peniaga kecil.

“Malah, rakan-rakan saya iaitu ADUN Komtar (Teh Lai Heng) dan ADUN Pengkalan Kota (Gooi Zi Sen) turut mengedar kalendar masing-masing pada setiap tahun,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Kon Yeow menyatakan bahawa aktiviti jelajah mesra merupakan platform terbaik untuk beliau mendapatkan input serta mendengar permasalahan penduduk terutamanya pengundi di ketiga-tiga KADUN terbabit.

“Antara yang dibangkitkan oleh penduduk adalah masalah kekurangan tempat letak kereta memandangkan ketiga-tiga kawasan ini merupakan lokasi perniagaan dan tumpuan pelancong domestik.

“Oleh itu, saya minta agar Ahli Majlis (Wong Yuee Harng) untuk membawakan isu ini kepada pihak MBPP untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru kepada penduduk di negeri ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menjalani aktiviti seharian selain segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak.

“Ini kerana kita tidak ada pilihan lain selain meneruskan pematuhan (SOP) serta vaksinasi, dan diharapkan pandemik COVID-19 akan bertukar menjadi endemik tidak lama lagi.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR