Legasi kuih popia Mamu Gaffor kekalkan guna kereta tolak

PERNIAGAAN turun temurun kuih popia yang dimulakan secara kecil-kecilan di rumah oleh bapa sejak tahun 1960 dahulu, kini terus diwarisi oleh Mamu atau nama sebenarnya ABDUL GAFFOR MUHAMAD HUSSAIN, 62.

Demi mempertahankan legasi ayah, Mamu berkata operasi perniagaan diteruskan di gerai-gerai pasar malam sekitar Pulau Pinang.

Butiran lanjut turut dikongsi bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI dalam sesi bicarawara baru-baru ini.

ABDUL Gaffor.

Bangga sebagai anak jati Pulau Pinang, Mamu memberitahu perniagaan kuih popia kian dikenali ramai serta mendapat sambutan semasa beliau berniaga di Sekolah Kebangsaan (SK) Francis Light dan sekitar Lorong Swatow (Swatow Lane).

“Pada awalnya, ayah hanya berniaga di rumah dek ingin cuba mencari rezeki dengan memulakan perniagaan kuih popia.

“Lama-kelamaan, pelanggan semakin bertambah dan mendorong saya lebih bersemangat untuk memperbesar lagi perniagaan di luar termasuklah di tapak penjaja Hospital Pulau Pinang dan Lorong Kulit,” katanya yang turut menguruskan penyediaan kuih popia bersama-sama isteri sebelum ke tapak pasar malam.

Menarik dalam perniagaan popia ini, Mamu memberitahu para pekerjanya adalah terdiri daripada ahli keluarga sendiri termasuk ibunya, BEEVI FATUHMA, 86 yang berasal dari India.

“Sehingga kini ibu saya menyediakan roti (sebagai lapisan kulit popia).

“Penyediaan bahan dan sebagainya dijalankan di rumah, saya akan memotong dan mengupas sengkuang manakala isteri pula di bahagian penyediaan kuah popia (manis dan pedas), kemudian di gerai pasar malam pula saya dibantu oleh abang dan adik ipar.

“Walaupun ibu saya telah meningkat usia, tetapi dia masih bersemangat menyediakan roti setiap kali waktu berniaga tanpa rungutan, saya pula tidak mahu dia hanya duduk saja nanti mula sakit-sakit badan,” selorohnya berkongsi cerita.

PELANGGAN mula membanjiri gerai popia di pasar malam.

Antara menu yang tersedia ialah popia basah, popia goreng sayur, manakala istimewa pada bulan Ramadhan, mereka menyediakan menu popia keju dan ayam keju.

Di samping itu, Mamu turut mengambil tempahan untuk sebarang majlis dan sering kali menerima tempahan semasa bulan Ramadhan serta rumah terbuka semasa perayaan Aidilfitri.

“Waktu beroperasi bermula seawal 4.00 petang dan mula ditutup menjelang jam 9.00 malam, manakala hari yang tidak berniaga kami sekeluarga hanya akan berehat di rumah.

“Para pelanggan yang ingin mencuba dan mengetahui lokasi gerai boleh mengunjungi pasar malam di Bukit Gedung pada setiap Isnin, pasar malam Nusantara (Selasa), pasar malam Taman Tun Sardon (Rabu), pasar malam Tanjung Tokong (Sabtu).

ANTARA proses penyediaan yang dilakukan semasa berniaga.

Kata Mamu lagi, tidak lengkap sesuatu perniagaan tanpa sebarang cabaran.

Justeru, beliau bersyukur tidak terlalu banyak rintangan dihadapi, tetap konsisten berniaga hari demi hari.

“Cabaran yang dihadapi adalah dari segi kenaikan harga barangan, bahan utama seperti sengkuang sangat mahal pada masa kini dan sukar didapati, ditambah pula diumumkan harga barangan dinaikkan sebanyak dua kali pada tahun ini.

“Tidak dilupakan juga semasa pandemik COVID-19, saya hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan, akan tetapi dengan sokongan isteri serta ahli keluarga yang lain, Alhamdulilah kami masih berniaga hingga kini,” luahnya semasa ditemu bual baru-baru ini.

Mengakhiri sesi jerayawara, sudah tentu setiap peniaga mempunyai impiannya tersendiri untuk melebarkan sayap, Mamu berpendapat ingin membuka kendara saji (food truck) pada masa hadapan jika diberi rezeki lebih.

“Saya berkeinginan untuk membuka kendara saji pada masa akan datang jika ada rezeki, sudah lebih berpuluh tahun perniagaan ini dijalankan menggunakan kereta tolak sejak zaman ayah.

“Di samping itu, saya dan isteri turut berbincang untuk berniaga menu lain pula seperti pasembur pada masa akan datang, sudah tentu kami akan maklumkan sebarang pembaharuan,” jelasnya lanjut.

Antara pencapaian terhebat bagi Mamu ialah dengan mencabar diri berniaga di Penang Food Festival serta menjamu tetamu artis terkemuka Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza semasa rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan tujuh tahun lepas.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI