BERTAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperluas sesi libat urus bersama semua pemegang taruh di bawah sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mendapatkan maklum balas serta mencari solusi bersama berhubung isu kenaikan kos masing-masing yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan pada peringkat global.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata demikian semasa ditemui dalam Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan @ Bertam di sini pada 26 April 2026.
“Perang di Timur Tengah yang berlarutan betul-betul menjejaskan rantaian bekalan seluruh dunia dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.
“Dan, KUSKOP secara amnya sedang melakukan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh kita termasuk kesatuan-kesatuan yang mewakili PMKS, penjaja dan gerakan koperasi untuk mendapatkan maklum balas tentang bagaimana keadaan ini memberi kesan kepada mereka.
“Kemudiannya, bagaimana kita (KUSKOP) hendak memberikan ‘ubat’ (solusi penyelesaian),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam kepada pemberita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’’ Baderul Amin Abdul Hamid; dan Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng turut menyertai sidang media tersebut.
Mengulas lanjut, Chee Keong berkata bahawa kementeriannya setakat ini turut bertemu dengan 16 pengurusan tertinggi perbankan bagi membincangkan program sokongan berkaitan untuk para pemain PMKS.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa kementeriannya turut menyasarkan perbelanjaan RM100 juta bagi membantu kira-kira 100,000 usahawan dari sudut pembangunan kapasiti mereka.
Sebelum itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Reezal Merican atas penganjuran bersama program jualan dan pameran produk keusahawanan tempatan di sini.
“Harga yang kita jual pada hari ini adalah 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, tetapi semasa ‘happy hour’, saya bersama Datuk Seri Reezal Merican bergabung dan menawarkan diskaun harga sehingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
“Contohnya, harga ayam daripada RM15 seekor menjadi RM8; daging lembu segar daripada RM32 sekilogram menjadi RM19,” jelasnya sambil berharap acara tersebut bukan sahaja membantu rakyat, malah peniaga kecil tempatan.
Buletin Mutiara difahamkan program yang berlangsung sejak awal pagi tadi merupakan kali kedua diadakan, selepas edisi sulung di kawasan Parlimen Bukit Mertajam baru-baru ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB