Libatkan lebih ramai dalam program umpama Sidang Belia, realisasikan Visi Penang2030

Admin
KETUA Menteri (kiri sekali) menyampaikan pandangan mengenai perjalanan sesi persidangan kepada salah seorang anggota Sidang Belia 2021 (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Law Choo Kiang (dua dari kiri) dan Soon Lip Chee di perkarangan hadapan bangunan DUN Pulau Pinang pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap lebih ramai muda mudi dilibatkan dalam program seumpama Sidang Belia Pulau Pinang demi merealisasikan Visi Penang2030 dengan moto Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Sidang Muda 2021 dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 30 Oktober 2021.

PARA anggota Sidang Belia 2021 merakamkan gambar kenang-kenangan dengan barisan pemimpin Kerajaa Negeri hari ini.

“Setelah berhempas pulas dalam empat sesi yang diadakan sejak April lalu, hari ini adalah kemuncak kepada pengorbanan, penat lelah dan titik peluh anda semua dalam mengharungi ujian kelayakan ini.

“Tahniah dan syabas kepada 38 Ahli Sidang Muda yang sungguh berani dalam menyahut cabaran untuk melangkah keluar dari zon selesa bagi meneroka peluang serta cabaran hidup yang baharu ini.

“Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, kita merangka dan melipatgandakan pelbagai program serta inisiatif bagi tujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan belia untuk kita mendidik, membangun dan memperkasakan ke arah pembangunan yang holistik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

SUASANA semasa sesi Sidang Belia 2021 di DUN Pulau Pinang tadi.

Persidangan itu dikemudi oleh Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang serta turut disertai barisan Exco Kerajaan Negeri dan beberapa ADUN serta Ahli Parlimen lain.

Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling yang secara langsung menjayakan Sidang Belia 2021 pada kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI