Lif selalu rosak, penduduk kesal pengurusan MC

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: SHUM JIAN WEI

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T Jayabalan melahirkan rasa kesal terhadap pihak pengurusan (MC) Blok H, Taman Bukit Jambul di sini ekoran masalah kerosakan lif yang terpaksa dihadapi para penghuni berkaitan.

“Saya mengutuk tindakan MC yang seolah- olah tidak mahu mengambil tahu tentang aduan berkaitan.

“Kalau penduduk semua boleh datang termasuk saya sendiri (hari ini), tetapi kenapa MC langsung tidak boleh menunjukkan muka di sini untuk mencari penyelesian?” tegasnya pada lawatan ke lokasi sini baru-baru ini.

Jayabalan memberitahu, masalah tersebut dipercayai begitu meruncing sehingga terdapat penduduk yang menyatakan hasrat untuk berpindah ekoran kemelut dihadapi.

Seorang penduduk, K. Jamuna, 43, berkata, kerosakan yang berlaku seolah-olah sangat biasa di sini.

“Adakalanya kedua-dua lif rosak, kerosakan boleh terjadi sehingga lapan bulan lamanya, apabila dibaiki, malangnya hanya bertahan beberapa hari sahaja sebelum ia rosak semula.

“Bila bertanya dan complain pada MC, kami bakal menerima jawapan yang kurang baik serta dimarah pula,” katanya yang turut menyatakan simpati terhadap penduduk uzur serta kurang upaya.

Ekoran itu, Jayabalan mencadangkan supaya mendapatkan 25 peratus tandatangan penduduk sebagai proses awal menukar pengurusan sedia ada.