Lima agensi latih, bantu usahawan kecil jana pendapatan keluarga selepas PKP – Exco

ABDUL Halim Hussain dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain merakamkan gambar kenangan bersama-sama peserta Program Memperkasakan Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Daerah Barat Daya di Balai Rakyat Balik Pulau di sini pada 9 Ogos 2020.
CIK Noon Hasan

CIK NOON HASAN, 63, antara 71 peserta yang menyertai Program Memperkasakan Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Daerah Barat Daya anjuran Pejabat Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain di Balai Rakyat Balik Pulau dekat Pulau Betong pagi ini.

Menurut Cik Noon, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksananaka sejak 18 Mac 2020 dahulu telah menjejaskan pendapatannya sekeluarga.

Justeru, program pendidikan keusahawanan anjuran Kerajaan Negeri hari ini sangat penting untuk dirinya yang baru memulakan perniagaan menjual sayur-sayuran.

“PKP baru-baru ini telah menjejaskan sektor pelancongan, jadi anak-anak dan menantu saya yang kerja di pantai pun hilang terus pendapatan mereka.

“Oleh kerana ada sedikit tanah, saya sekeluarga mula bercucuk tanam pelbagai jenis sayur seperti bendi, timun dan kangkung, jadilah dapat menjual hasil tanaman di depan pasar Teluk Bahang.

“Saya ini dah bergelar warga emas, jadi sekadar membantu anak-anak sahaja,” jelasnya di sini pada 9 Ogos 2020.

ABDUL Halim Hussain (kiri) diirngi Mohd. Hafiz Aswad Nadzri (tengah) menyerahkan khemah niaga bersaiz 10′ X 10′ kepada Cik Noon Hasan di Balai Rakyat balik Pulau di sini pada pagi tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Exco kerana menghadiahkan khemah niaga 10 X 10 kaki kepada para peserta program usahawan tersebut.

SALEHUDDIN Ahmad

Sementara itu, SALEHUDDIN AHMAD, 54, berkata pelaksanaan PKP memaksa beliau mengubah jenis perniagaan nasi lemak di pasar malam kepada menjaja mi di Simpang Empat, Balik Pulau.

Justeru, latihan keusahawanan serta bantuan Kerajaan Negeri berupa khemah niaga 10 X 10 kaki itu adalah begitu diperlukan.

“Sebelum PKP ini, saya menjual nasi lemak.

“Apabila berlaku PKP, pasar malam juga tak boleh beroperasi dulu, saya tukar pula dengan berniaga mi.

“Dengan pemberian khemah niaga ini, alhamdulillah, dapatlah menggantikan khemah yang telah rosak,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Sebelum itu, Abdul Halim ketika berucap antara lain memberitahu bahawa dua sesi program usahawan berlangsung di peringkat Daerah Barat Daya pada hari ini, iaitu sebelah pagi di Balai Rakyat Balik Pulau dan sebelah petang di Balai Rakyat Bayan Baru.

ABDUL Halim Hussain (kiri) saling berbincang dengan Mohd. Hafiz Aswad Nadzri mengenai cadangan program memperkasakan usahawan, penjaja kecil dan koperasi peringkat Daerah Barat Daya, sebelum menyempurnakan acara perasmian di Balai Rakyat Balik Pulau di sini pada pagi tadi.
MOHD. Tuah Ismail ketika menyampaikan ucapan dalam Program Perkasa Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Daerah Barat Daya di sini pada pagi tadi.

“Sebanyak lima agensi kerajaan diturunkan untuk melatih peniaga-peniaga kecil, iaitu Penang Halal International, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Pelesenan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Khemah 10 X 10 kaki ini kita (Kerajaan Negeri) beri kepada mereka yang telah ada perniagaan secara kecil-kecilan terutama kepada mereka yang terjejas daripada sudut pendapatan keluarga, akibat PKP.

“Manakala, sesi latihan keusahawanan dengan penglibatan lima agensi tadi sebagai pendedahan dan sesi latihan supaya mereka dapat merebut peluang memohon skim-skim bantuan dan sebagainya untuk mengembangkan lagi operasi keusahawanan mereka.

“Selepas lima tahun ini, saya harap, saiz perniagaan para peserta yang mengikuti program usahawan tidak kekal kecil, bukan lagi di bawah khemah bersaiz 10 X 10 kaki ini, tetapi berkembang besar kerana adanya pelbagai program sokongan daripada Kerajaan Negeri hari ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri turut berucap pada majlis yang dilangsungkan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) PKP Pemulihan (PKPP), tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI