Lima fokus utama Bajet 2023 MBPP sejajar SDG, Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan RM154.13 juta melalui Bajet 2023 dengan memberi penekanan terhadap lima fokus utama dalam memastikan perkhidmatan perbandaran dan infrastruktur terbaik bagi mencapai aspirasi Bandar Raya Pintar, Berdaya Huni dan Sejahtera.

 

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, lima fokus utama tersebut adalah kebersihan; kehijauan; mobiliti; kepintaran dan ekonomi.

 

Sebanyak RM71.65 juta diperuntukkan bagi tujuan kebersihan yang mana MBPP akan terus mempertahankan ASEAN Clean City Tourist Award yang diterima buat kali keempat berturut-turut sejak 2018.

 

“(Dan) melalui peruntukan ini, MBPP mengambil beberapa inisiatif seperti membangunkan Sistem Pengurusan Kenderaan bagi aktiviti pungutan sampah melibatkan 121 unit kenderaan yang dipasang peranti pintar dan membudayakan pengasingan sisa melalui pelbagai program.

 

“Selain itu, MBPP juga mengadakan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi membangunkan Zero Waste Roadmap; model perintis projek urus sisa organik dari pasar awam dan kompleks makanan serta penyahkarbonan dalam sektor hartanah dan pembinaan,” ujarnya ketika membentangkan Bajet MBPP 2023 di Dewan Bandaraya pada 19 September 2022.

AR. Yew Tung Seang ketika membentangkan Bajet 2023 Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, Tung Seang memaklumkan bahawa sejumlah RM14.97 juta yang diperuntukkan bagi kehijauan bakal digunakan bagi melaksanakan Nature Based Climate Adaptation dengan menumpukan program penyelesaian berasaskan semula jadi demi mengurangkan kesan perubahan iklim.

 

“Beberapa projek koridor hijau juga telah dikenal pasti termasuk penanaman spesies pokok yang bersesuaian dan berdaya tahan serta mampu menyerap pemanasan bandar (Urban Heat Island, UHI),” katanya.

 

Dalam pada itu, bagi memacu transformasi digital, Tung Seang berkata bahawa MBPP akan memperkasakan projek berimpak tinggi termasuk Pearl : One Touch Penang; Gigabit City dan Smart Digital Twin (SmiDat).

 

Sebanyak RM34.50 juta diperuntukkan bagi tujuan ini yang akan menjadi pemangkin kepada gaya hidup dan ekonomi pintar dengan tumpuan untuk melonjakkan pendigitalan, penggunaan teknologi serta memacu kelestarian MBPP.

 

“Seterusnya, sebanyak RM16.01 juta diperuntukkan bagi mobiliti yang bakal memberi keutamaan kepada pelbagai mod pengangkutan awam yang mesra pengguna dan alam sekitar.

 

“Manakala RM17 juta diperuntukkan bagi ekonomi untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan dan efektif termasuk mempergiatkan pertumbuhan dan kemampanan ekonomi,” katanya lagi.

 

Terdahulu, Tung Seang membentangkan Bajet 2023 bertemakan Kebolehhunian Bandar dan Kemampanan yang dilihat sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Ke-11 iaitu Bandar dan Komuniti Mampan dan Visi Penang2030.

 

Bajet 2023 MBPP ini menggariskan empat objektif strategik iaitu mengimbangi perancangan antara sektor pembangunan dan alam sekitar; merangsang pertumbuhan sosio ekonomi masyarakat; memperkasakan infrastruktur berdaya tahan dan memastikan pencapaian bestari, berdaya huni dan mampan.

 

“MBPP sentiasa berdiri teguh dalam membina ketahanan sosial dan memacu pembaharuan untuk memastikan kelangsungan hidup dengan memberi fokus terhadap landskap teknologi dunia.

 

“Di samping memberi kerjasama untuk mengarusperdanakan Environmental, Social and Governance (ESG) dan pelaburan berorientasikan teknologi hijau,” jelasnya.

 

Menurut Tung Seang, bagi Bajet 2023, anggaran hasil adalah sebanyak RM372.29 juta berbanding anggaran perbelanjaan RM405.17 juta.

 

“Ini bermakna Bajet 2023 merupakan bajet defisit sebanyak RM32.88 juta,” katanya.

 

Bagi anggaran hasil, Tung Seang memberitahu bahawa sebanyak RM258.76 juta atau 69.5 peratus adalah daripada hasil cukai merangkumi kutipan Kadar Taksiran (cukai pintu) dan Sumbangan Membantu Kadar (cukai pintu bagi harta kerajaan dan agensi kerajaan).

 

“Sebanyak RM92.99 juta atau 24.98 peratus adalah daripada Hasil Bukan Cukai seperti kutipan lesen dan permit, bayaran perkhidmatan, perolehan dan jualan, sewaan, faedah dan perolehan dari pelaburan, denda dan pelbagai terimaan.

 

“Anggaran Terimaan Bukan Hasil pula adalah sebanyak RM20.54 juta (5.52 peratus) yang diperoleh melalui Terimaan Agensi Kerajaan serta Pulangan Balik Perbelanjaan,” jelasnya.

 

Manakala bagi anggaran perbelanjaan tahun 2023 Perbelanjaan Mengurus adalah melibatkan pecahan seperti berikut :

 

i.  Emolumen sebanyak RM172.74 juta atau 42.63 peratus

ii. Perkhidmatan dan Bekalan – RM177.77 juta (43.88 peratus)

iii. Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap – RM4.23 juta (1.04 peratus)

iv. Perbelanjaan Lain – RM5.8 juta (1.43 peratus)

 

Perbelanjaan Pembangunan pula, adalah sebanyak RM44.63 juta atau 11.02 peratus daripada keseluruhan Bajet 2023 MBPP.

 

Tahun 2022, MBPP membentangkan bajet defisit sebanyak RM24.89 juta dan RM28.28 juta pada 2021.

 

Sebagai rekod, bagi pengurusan kewangan tahun 2021, MBPP mencatatkan surplus sebanyak RM31.93 juta (belum diaudit) dan RM1.57 juta pada tahun sebelumnya (2020) serta berjaya mengekalkan Sijil Bersih Penyata Kewangan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN