Utus surat kepada JKPSB maklum aduan penduduk

O l e h : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa Dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bakal mengutus surat kepada agensi pelaksana Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) bagi memaklumkan maklum balas penduduk yang mendakwa tanah milik dipercayai pihak berkaitan di kawasan Jelutong di sini ditinggalkan dalam keadaan semak sehingga menimbulkan beberapa permasalahan.

Katanya, surat yang dihantar para penduduk berkaitan mendakwa bahawa kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut telah meninggalkan sisa-sisa pembersihan seperti longgokan potongan kayu begitu sahaja.

“Saya menerima aduan bahawa sisa-sisa potongan pokok di kawasan tersebut ditinggalkan begitu sahaja tanpa dialih atau dibersihkan setelah kerja pembersihan kawasan selesai.

“Ini dikhuatiri akan menyebabkan air bertakung dan menjadi kawasan pembiakan nyamuk,” ujarnya pada sidang media baru-baru ini di sini.

Difahamkan, lokasi tersebut bakal dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik oleh agensi Kerajaan Pusat tersebut meliputi 192 unit rumah kos rendah berharga RM42,000, 192 unit kos sederhana rendah (RM72,500) dan 382 unit kos sederhana (RM280,000 hingga RM300,000).

Jagdeep menambah, pihaknya akan menulis surat kepada JKP untuk memaklumkan hal tersebut.

“Saya akan menulis sepucuk surat sebagai pengetahuan mereka (JKPSB) agar fasa pembangunan di kawasan tersebut mementingkan persekitaran selamat dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada penduduk berdekatan,” ujar beliau.

JKPSB yang ditubuhkan pada 12 Julai 1995 merupakan agensi pelaksana kepada MPBPP yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (JKP).

Penubuhan JKPSB adalah untuk membantu Kerajaan Persekutuan mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan pemilikan hartanah di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, syarikat terlibat secara langsung dalam membangunkan unit kediaman dan komersial yang mampu dimiliki oleh sebilangan besar Bumiputera.