Lima muka baru antara 24 Ahli Majlis MBSP angkat sumpah terima jawatan hari ini

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai lima muka baru daripada 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang dilantik bagi tahun 2021 mengangkat sumpah penerimaan jawatan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini.

Mereka ialah Ng Yee Siang daripada Parti Tindakan Demoktratik (DAP); Teh Chuann Yien (DAP); Norly Masitah Mohamed (Parti Keadilan Rakyat, PKR); Tan Bee Hong (Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia, MPKSM) serta Harryzan Yaakub (Pertubuhan Ikram Malaysia Pulau Pinang).

Turut hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Chong Eng (Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam); Phee Boon Poh (Exco Kebajikan dan Alam Sekitar); Dr. Norlela Ariffin (Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan); Soon Lip Chee (Exco Belia dan Sukan); Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Sr. Rozali Mohamud bergambar kenang-kenangan bersama 24 Ahli Majlis MBSP yang dilantik bagi tahun 2021.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mohamud; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin serta Ketua-ketua Jabatan MBSP juga hadir.

Kon Yeow dalam ucapan beliau sebelum itu menzahirkan harapan agar semua Ahli Majlis yang dilantik dapat meningkatkan prestasi dan tahap kecekapan masing-masing dalam melaksanakan dasar serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Tahniah dan syabas kepada semua 24 Ahli Majlis yang telah terpilih bagi meneruskan perkhidmatan, bersekali dengan pakej amanah dan tanggungjawab bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

“Saya menyeru agar Ahli-ahli Majlis dapat menjalinkan hubungan yang erat dan bekerjasama rapat sebagai satu pasukan lebih kuat dengan MBSP bagi meneruskan dasar serta keputusan Kerajaan Negeri.

“Sebagai antara barisan hadapan, Ahli Majlis perlu lebih proaktif selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti masing-masing,” katanya pada upacara berkenaan dekat Menara Bandaraya MBSP di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen MBSP melaksanakan pelbagai inisiatif terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik COVID-19 dengan menyediakan lebih 100 perkhidmatan secara atas talian.

Lima buka baru Ahli Majlis MBSP iaitu (dari kiri) Harryzan Yaakub, Tan Bee Hong, Ng Yee Siang, Teh Chuann Yien serta Norly Masitah Mohamed.

“Era pandemik COVID-19 telah membawa kepada corak dan pembaharuan perkhidmatan seiring dengan keperluan serta kehendak semua lapisan masyarakat.

“Justeru, Kerajaan Negeri yakin dan percaya bahawa MBSP di bawah kepimpinan Datuk Bandar mampu meneruskan prestasi serta pencapaian cemerlang untuk memacu pembangunan kawasan Seberang Perai yang lebih komprehensif,” ujarnya.

Menurut Kon Yeow, MBSP telah menggariskan Pelan Pasca Pemulihan Ekonomi yang merangkumi 15 pelan pemulihan demi manfaat semua pihak melalui pembentangan Bajet Tahun 2021 berjumlah RM333.22 juta baru-baru ini.

“MBSP akan membelanjakan RM33.22 juta berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM299.25 juta dengan defisit RM33.97 juta, sebagai pendekatan pengurusan berdasarkan kemampuan yang mengutamakan program dan projek berteraskan keperluan rakyat.

“Antaranya adalah pemberian rebat 30 peratus ke atas cukai taksiran bagi tahun 2020 kepada pembayar cukai, pengeluaran lesen serta-merta setelah menerima permohonan lengkap bagi permohonan lesen premis dan iklan tidak berisiko, lesen penjaja serta lesen veternar.

“Serentak itu, MBSP turut memberi fokus kepada lapan keutamaan teras berdasarkan respons penduduk semasa sesi dialog bajet merangkumi pelbagai inisiatif yang pastinya memenuhi aspirasi Visi Penang2030: Negeri pintar dan hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Jagdeep semasa berucap mengingatkan kesemua Ahli Majlis supaya memberi perhatian serius terhadap usaha untuk memastikan jaminan kesihatan awam dan keselamatan rakyat di negeri.

Menurut beliau, adalah penting bagi semua Ahli Majlis untuk menyokong semua dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengembalikan status negeri Pulau Pinang sebagai zon hijau.

“Di samping keselamatan dan kesihatan awam, Ahli-ahli Majlis juga perlu melihat kepada bagaimana untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing ketika ini,” serunya.

Nada sama turut dizahirkan oleh Rozali yang mengingatkan semua Ahli Majlis serta warga kerja MBSP supaya memperjuangkan wawasan rakyat iaitu menjadikan Seberang Perai sebagai bandaraya mampan, inklusif, hijau, kompetitif yang dipacu oleh teknologi.

“MBSP perlu bergerak dalam satu pasukan dan akan sentiasa mengutamakan kehendak warga Seberang Perai dan dalam masa sama perlu meneroka program-program baru yang dapat membantu ekonomi penduduk,” tegasnya.

Sebagai rekod, pelantikan Ahli Majlis bagi tahun 2021 dipilih mengikut kuota yang disediakan iaitu 10 orang daripada DAP; PKR (9); Parti Amanah Negara, AMANAH (2) dan pertubuhan bukan kerajaan, NGO (3).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS