Limpahan pengunjung dijangka kembali ke KOMTAR selepas pembukaan UTC pertengahan tahun 2020

GEORGE TOWN – Pusat Tranformasi Bandar (UTC) yang dijadual mula beroperasi pada pertengahan tahun hadapan di tingkat dua Bangunan KOMTAR dijangka kembali membawa limpahan pengunjung ke pusat komersial tersebut kelak.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Aziz Bakar, sebanyak 13 agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia, JOBS Malaysia dan Kementerian Pembangunan Usahawan akan beroperasi mulai 10:00 pagi hingga 10:00 malam tiap-tiap hari kecuali cuti umum.

“Dengan tersebarnya mengenai cadangan mewujudkan UTC pertama negeri di KOMTAR ini, unit-unit (lot kemersial) yang kosong telah mula mendapat perhatian.

“Kita (PDC) harap pembukaan UTC ini kelak memberi impak yang baik dan UTC serta KOMTAR Walk di sini saling melengkapi dan dapat menghidupkan kembali semua aktiviti perniagaan di KOMTAR ini,” jelasnya pada sidang media bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng di sini pada 27 November 2019.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus, Datuk Ir. Ang Choo Hong, iaitu syarikat subsidiari berkaitan kerajaan yang menguruskan hal sewaan lot komersial di KOMTAR kepada pihak Kerajaan Persekutuan bagi projek UTC ini.

TEH Lai Heng (dua dari kiri) menyertai lawatan tapak renovasi lot komersial yang dicadangkan untuk dijadikan UTC, di KOMTAR Walk di sini pada pagi tadi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Lai Heng berkata, urusan pemilihan KOMTAR sebagai tapak operasi UTC Pulau Pinang sebenarnya dimuktamad oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“PDC, saya dan Kerajaan Negeri bersusah payah untuk mendapatkan UTC di KOMTAR ini.

“Jadi, kita mendapat persaingan yang hebat juga masa Kementerian Kewangan (membuat saringan untuk) pilih lokasi,” jelasnya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Jika sambutan pengunjung di UTC KOMTAR ini begitu baik pada masa hadapan, Lai Heng berharap lebih banyak projek persekutuan sebegitu dapat dibuka di tempat-tempat lain dekat negeri ini.

Difahamkan, UTC bakal menyewa empat lot komersial daripada PDC Setia Urus dengan luas lantai keseluruhan kira-kira 41,924 kaki persegi.

Dalam perkembangan berkaitan, Aziz turut memberitahu Mahkamah Rayuan telah memberi keputusan memihak pada PDC dan mengarahkan Pacific Hypermarket & Departmental Stores Sdn. Bhd. (Pacific) supaya memulangkan milikan kosong tapak KOMTAR Walk kepada PDC.

“Kini, PDC sedang dalam proses untuk mendapatkan kembali semua milikan kosong di KOMTAR Walk.

“PDC juga mempunyai rancangan untuk menyuntik aktiviti-aktiviti baru untuk tapak KOMTAR Walk,” katanya sambil berharap rancangan peremajaan semula itu akan melengkapi Taman Arkeologi Bandar Sia Boey yang berada tidak jauh dari kawasan komersial di sini.

TEH Lai Heng (dua dari kiri) menyertai lawatan tapak renovasi lot komersial yang dicadangkan untuk dijadikan UTC, di KOMTAR Walk di sini pada pagi tadi.
SITI Baizura Amir.

Sementara itu, Siti Baizura Amir, 50, iaitu pengurus perniagaan makanan ‘Warung 5’ di sini menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mewujudkan UTC di sini.

Menurutnya, walaupun beberapa projek rejuvenasi KOMTAR telah dilaksana pada beberapa tahun lalu, namun, pengunjung khususnya warganegara masih kurang memberangsangkan berbanding golongan buruh asing.

Namun, katanya lagi, dengan pembukaan UTC terutama Pejabat Imigresen, dijangka akan menggandakan bilangan pengunjung ke lot-lot komersial yang dibuka di KOMTAR atau Kompleks Tun Abdul Razak ini.

“Hampir 25 tahun, saya kerja di tingkat empat, sejak beberapa tahun lepas, yang kerap datang membeli seluar jeans dan baju-T adalah pekerja dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

“Orang kita (warganegara) kurang, melainkan pada musim perayaan sahaja.

“Jadi, dengan adanya UTC ini, bagus lah, pengunjung akan kembali ramai dan menghidupkan kembali suasana di KOMTAR ini,” jelasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING