Longkang jalan Pasar Awam Jeti Lama Bagan dinaik taraf demi keselesaan peniaga

BAGAN DALAM – Struktur longkang dekat Jalan Pasar berhadapan dengan Pasar Awam Jeti Lama di sini kini dalam proses dinaik taraf demi keselesaan para peniaga serta pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees berkata projek menaik taraf adalah membabitkan kerja-kerja pelebaran dan pendalaman longkang sedia ada membabitkan kos RM100,000.

“Kita menerima banyak aduan daripada peniaga bahawa kawasan pasar awam ini kerap berlaku banjir kilat semasa hujan lebat selain longkang juga sering tersumbat.

M. Satees bersama-sama Chen Yeeh Keen dan pihak berkaitan menunjukkan keadaan longkang sedia ada di Jalan Pasar dekat Pasar Awam Jeti Lama.

“Jadi kita buat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang melalui Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk melebar dan mendalamkan longkang iaitu daripada 150 milimeter (mm) sebelum ini kepada 450mm.

“Diharapkan apabila projek ini siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada hampir 60 orang peniaga dan para pengunjung di pasar awam ini,” katanya pada sidang media di hadapan Pasar Awam Jeti Lama dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi MBSP, Chee Yeeh Keen; Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bagan, K.C. Tan serta wakil daripada syarikat kontraktor.

Dalam pada itu, Yeeh Keen memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf longkang tersebut yang sepatutnya bermula pada 1 Ogos lalu dijangka siap sepenuhnya pada awal September ini.

“Justeru, kita minta kerjasama daripada peniaga-peniaga supaya memberikan kerjasama kepada pihak kontraktor yang bertanggungjawab sepanjang projek menaik taraf berlangsung,” serunya sambil menambah bahawa struktur longkang di kawasan tersebut belum pernah dinaik taraf sejak sekian lama.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR