Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SHUM JIAN WEI
JELUTONG – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, bencana banjir kilat di Kampung Pisang Awak baru-baru ini antaranya berpunca oleh sisa runtuhan rumah serta pokokpokok yang ditebang di sini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan bencana, bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta pemaju bertanggungjawab, JKP Sdn. Bhd. (JKP).
“Saya dimaklumkan pada 25 Oktober lalu, pihak JKP ada membuat sedikit pembersihan dan penebangan pokok, namun, saya difahamkan kerja-kerja berkenaan tidak dibersihkan dengan sempurna.
“Oleh itu, terdapat sedikit sisa-sisa pemotongan pokok yang tersumbat di dalam longkang,maka apabila hujan lebat turun pada malam (9 hingga 10 malam) 1 November lalu, berlaku sedikit banjir,” jelasnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye turut menyertai lawatan ke kawasan bencana tersebut.
Kon Yeow berkata, lawatannya itu bukanlah untuk mencari pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan, sebaliknya, untuk mencari solusi supaya bencana serupa tidak berulang lagi kelak.
“Kita juga tidak menyalahkan hujan mahupun Tuhan, tambahan pula longkang di sini agak dekat dengan laut, kebetulan hari tersebut juga air laut pasang besar,” ujar Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 cukup menitikberatkan isu perparitan dan bencana banjir.
“Oleh itu, setiap kali permulaan apa-apa projek, MPPP mengarahkan pemaju untuk membina sistem perparitan dahulu sebelum menjalankan kerja-kerja lain bagi mengelakkan kejadian banjir.
“Lanjutan itu, Pengurus Kanan Perancangan dan Pembangunan JKP, Ir. Samrulzaman K. Mohideen mengakui perkara tersebut dan berjanji akan membersihkan sisa-sisa yang masih tertinggal,” jelas Kon Yeow.
Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo kerana berusaha menguruskan isu penempatan penduduk setinggan di sini baru-baru ini.
“Perkara ini dilakukan oleh semua pihak secara toleransi yang sungguh berkesan,” katanya.