LRT Komtar – Bayan Lepas, sentiasa dalam senarai dan menjadi projek ‘wajib’ Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah berputus asa dalam meneruskan usaha pelaksanaan projek-projek infrastruktur termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas yang bakal memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap pertikaian yang dibangkitkan oleh parti pembangkang berhubung projek berkenaan yang dikatakan tidak disenaraikan dalam Bajet 2023 Persekutuan.

 

“Saya membaca laporan media yang mana parti pembangkang mempertikaikan kenapa projek LRT tidak disenaraikan dalam Bajet 2023 pada pertemuan dengan Menteri Kewangan, 3 September lalu.

 

Di sini saya tekankan bahawa bagi pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Negeri telah mengenal pasti dan memohon sejumlah 126 projek pembangunan dan infrastruktur.

 

“Permohonan projek-projek ini melibatkan 20 jabatan dan agensi kerajaan serta 11 Kementerian dengan anggaran kos keseluruhan adalah RM17.72 bilion, yang mana sebanyak RM2.89 bilion diperlukan bagi tahun 2023.

 

“(Dan) daripada senarai 126 projek itu, projek pengangkutan awam LRT Komtar – Bayan Lepas Fasa 1 turut disenaraikan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM10 bilion,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 6 September 2022.

 

CHOW Kon Yeow.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memaklumkan bahawa pada Projek LRT Komtar – Bayan Lepas sentiasa tersenarai dan menjadi projek ‘wajib’.

 

Bukan sahaja dalam setiap bajet malah pada mesyuarat dan pertemuan pada peringkat Persekutuan juga yang mana projek ini sentiasa dalam radar kita (Kerajaan Negeri).

 

“Begitu juga pada sesi perbincangan bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed berhubung peruntukan RMKe-12 kepada negeri Pulau Pinang pada 20 November 2020 di ibu negara dan terkini pada 19 Julai 2022.

 

“Walaupun tidak diluluskan (pada peringkat Persekutuan) kita tetap tidak berputus asa menyenaraikannya setiap tahun dan kini, kita sedang melalui latihan Pra-Kelayakan yang merupakan peringkat pertama Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi projek LRT berkenaan.

 

“Perkara ini adalah selepas jaminan pinjaman yang telah diberikan sebelum ini ditolak oleh Kabinet,” jelasnya yang turut merujuk pada kenyataan bertarikh 1 Disember 2020 yang mana Kementerian Kewangan telah tiga kali menolak permohonan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pinjaman serta jaminan untuk membiayai projek tersebut.

 

Terdahulu, pada sesi konsultasi Bajet 2023 dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Komtar, Kerajaan Negeri menyenaraikan 10 projek pembangunan dan infrastruktur utama yang bakal memberi impak positif terhadap pembangunan negeri dengan anggaran kos berjumlah RM2.27 bilion untuk tahun 2023.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN