GEORGE TOWN – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang kini memasuki fasa pelaksanaan fizikal mencatatkan kemajuan sebanyak 15.5 peratus setakat September 2026, sekali gus menjadi antara pemangkin utama transformasi sistem pengangkutan awam Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan mobiliti penduduk, malah membuka peluang ekonomi kepada 150 kontraktor kecil dan sederhana serta pembekal tempatan menerusi pemberian subkontrak bernilai RM397.07 juta.
“Kerja-kerja di bawah Pakej Kontraktor Utama Kerja Awam 1 (CMC1), melibatkan jajaran sepanjang 23.7 kilometer dari KOMTAR ke Stesen A1 di Pulau Silikon, sedang giat dilaksanakan dengan sasaran keseluruhan projek siap dan mula beroperasi pada Disember 2031.
“Memasuki tahun 2027, tumpuan Kerajaan Negeri bukan sekadar memastikan pembinaan LRT mengikut jadual, malah memperkukuh ekosistem mobiliti melalui integrasi perkhidmatan bas, kemudahan first-mile dan last-mile, laluan pejalan kaki serta pembangunan berorientasikan transit (TOD),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Ke-15 di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyatakan bahawa pembangunan TOD Sungai Nibong akan terus diperhalusi dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB), susulan Simposium Libat Urus Pemegang Taruh yang berlangsung pada 30 Julai 2026.
Tambah beliau, draf Pelan Induk TOD Sungai Nibong disasar dimuktamadkan pada hujung tahun ini bagi membangunkan kawasan berkenaan sebagai hab mobiliti dan komuniti bersepadu yang merangkumi kediaman, perniagaan, kemudahan masyarakat, rekreasi serta ruang hijau mesra pejalan kaki.
“Kerajaan Negeri juga akan memastikan TOD Sungai Nibong mengekalkan penganjuran Pesta Pulau Pinang dengan wajah baharu sebagai warisan pelancongan negeri yang unik.
“Sehingga pembangunan tersebut direalisasikan, Pesta Pulau Pinang akan dianjurkan di lokasi sementara di Kubang Menerong dari 1 hingga 31 Disember tahun ini,” jelasnya.
Bagi memperkukuh penggunaan pengangkutan awam, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan pembiayaan Pas Mutiara serta penyediaan perkhidmatan bas percuma CATBridge, CAT George Town, CAT Hospital dan BEST KOMTAR.
Menurut Kon Yeow, perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang setakat ini telah merekodkan sebanyak 17 juta perjalanan penumpang, justeru subsidi keseluruhan berjumlah RM16.8 juta diperuntukkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan berkenaan pada tahun 2027.
“Dalam menyantuni kebajikan penggerak sektor pengangkutan awam, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Bantuan Insentif Khas E-Hailing sebanyak RM600 secara sekali bayar (one-off) kepada pemandu yang layak pada tahun 2027, dengan siling peruntukan sebanyak RM9 juta.
Selain itu, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi meneruskan bantuan insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah,’’ ulasnya lanjut.
Sementara itu, dalam aspek pembangunan infrastruktur jalan raya, Kon Yeow menyatakan bahawa beberapa projek pelebaran, naik taraf dan penyuraian trafik akan dilaksanakan bagi meningkatkan ketersambungan serta mengurangkan kesesakan di lokasi strategik.
“Turut dirancang ialah pembayaran balik tanah bagi Projek Pelebaran dan Menaik Taraf Jalan dari Jalan Perusahaan hingga ke Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Tok Kangar, SPT, Fasa 3 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dengan peruntukan RM11 juta.
“Selain itu, projek menaik taraf dan penyuraian trafik oleh JKR Negeri pada tahun 2027 turut melibatkan kawasan Valdor dengan peruntukan RM1.5 juta serta Pekan Penanti sebanyak RM5 juta,’’ jelasnya.
Mengulas mengenai Projek Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua, Kon Yeow berkata bahawa Pakej 1 telah mencapai kemajuan sebanyak 50.69 peratus setakat 18 Oktober 2026 dan dijangka siap pada penghujung Oktober 2027.
“Bagi Pakej 2 hingga 5, proses tender dijangka selesai pada penghujung tahun ini, manakala kerja-kerja di tapak dijadualkan bermula awal tahun 2027,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 280 projek pembangunan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), dengan kos keseluruhan RM33.22 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 44 merupakan projek baharu manakala 236 lagi projek sambungan, dengan RM2.68 bilion diperuntukkan pada tahun 2027 bagi pelaksanaan projek-projek berkenaan menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menegaskan bahawa pembangunan mampan turut menuntut kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi risiko perubahan iklim, banjir, hakisan pantai dan bencana.
Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang menerima peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri sebanyak RM18.85 juta pada tahun ini bagi melaksanakan 81 projek berkaitan pengurusan sumber air, sistem saliran dan mitigasi banjir.
“Program Projek Tebatan Banjir Berimpak Tinggi bernilai keseluruhan RM150 juta yang merangkumi lapan projek turut dilaksanakan, dengan tujuh daripadanya telah siap manakala Projek Tebatan Banjir Sungai Permatang Rawa masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.
“Selain itu, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Dua Besar yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan kos pembinaan RM35.69 juta turut menjadi antara usaha penting mengurangkan risiko banjir di negeri ini.
“Projek yang bermula pada 8 Jun 2026 dan dijadualkan siap pada 8 Jun 2028 ini melibatkan kerja-kerja pelebaran sungai, pembinaan rumah pam, flap gate dan lintasan.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka meningkatkan tahap perlindungan banjir kepada kira-kira 1,300 rumah melibatkan kawasan seluas kira-kira 73 hektar,’’ ulasnya.
Kata Kon Yeow, bagi tahun 2027, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM13.95 juta di bawah peruntukan pembangunan P.08 serta sebanyak RM2.5 juta berkaitan RTB di bawah P.16 – Jabatan Kewangan Negeri.
Dalam usaha menjamin kelestarian bekalan air jangka panjang pula, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan pembiayaan geran berjumlah RM2 bilion bagi komponen rawatan air terawat dan sistem pengagihan Projek Air Perak–Pulau Pinang.
“Permohonan itu dibuat susulan pemeteraian Perjanjian Bekalan Air Pukal secara bersyarat antara Perbadanan Bekalan Pulau Pinang (PBAPP) dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn. Bhd. menerusi projek berkenaan yang dianggarkan menelan kos keseluruhan RM3.5 bilion,’’ ujarnya.
Sementara itu, bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.34 juta pada tahun 2027 bagi membangunkan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana (Disaster Humanitarian Logistic Centre) di Bukit DO, Seberang Perai Tengah.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS