LRT mampu ubah tabiat pengguna jalan raya di Pulau Pinang, Kon Yeow respons mahasiswa

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap rancangan pemajuan bersepadu Pelan Induk Pengangkutan (TMP) Pulau Pinang terutama projek transit aliran ringan (LRT) George Town ke Bayan Lepas akan mengubah tabiat pengguna jalan raya daripada menggunakan kenderaan peribadi kepada perkhidmatan pengangkutan awam, kelak.

Atas maksud itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya komited untuk memenuhi segala syarat pemajuan yang digariskan oleh jabatan-jabatan teknikal di peringkat Persekutuan serta kekangan kewangan berwajib, demi meningkatkan mutu hidup rakyat di Pulau Pinang.

“Salah satu cabaran utama di Pulau Pinang sehinga tahun 2030 ini adalah masalah trafik sesak.

“Dan, saya percaya mahasiswa bergerak pun, lebih memilih menggunakan kenderaan peribadi berbanding perkhidmatan pengangkutan awam, adalah disebabkan sistem trafik yang agak sesak ketika ini,” jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong di Advance Tertiary College (ATC) pada pagi 15 September 2018.

Kon Yeow menyatakan demikian dalam Forum Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) Bersama-sama Mahasiswa di sini.

Pengarah Jabatan Undang-Undang Kolej ATC Pulau Pinang, Sanjay Kanshanlal dan Ketua Pegawai Eksekutif Freemind Works, Kaygarn Tan adalah dua panelis lain dalam forum kendalian mahasiswa, Chin How Zet.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu, beliau berharap rancangan pemajuan pintasan lebuh raya Penang Island Link 1 (PIL1) dan jajaran transit aliran ringan (LRT) George Town ke Bayan Lepas akan mengubah tabiat pengguna jalan raya untuk memilih pengangkutan awam dalam kira-kira tempoh sedekad ini.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokrasi (DAP) Pulau Pinang turut membentangkan Penang2030, iaitu wawasan pembangunan menyeluruh Pulau Pinang dalam tempoh 12 tahun sehingga 2030.

Dalam pada itu, Kaygarn Tan pula memberitahu dengan mewujudkan semula trem di tengah-tengah bandar raya George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, akan melonjak lagi tarikan serta nilai tambah pada sektor hartanah di negeri ini.

“Saya agak melalui TMP ini, nampaknya Kerajaan Negeri tidak menumpu pada aspek sektor pembuatan semata-mata, malah juga dalam sektor perkhidmatan terutama industri pelancongan dan sektor pelancongan perubatan.

“Semestinya, daripada aspek hartanah, projek-projek pemajuan jangka panjang ini menarik lebih ramai untuk berkunjung dan melabur di Pulau Pinang, terutamanya di sepanjang (jajaran kawasan pemajuan) yang terlibat dalam projek TMP dan LRT ini,” jelas beliau, yang terlibat dalam kajian lapangan sektor hartanah korporat.

Sanjay Kanshanlal pula menjelaskan di negara-negara maju terutama di rantai Eropah sendiri menyaksikan Kerajaan sanggup berbelanja lebih untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, sekaligus mengurangkan keadaan trafik sesak di bandar-bandar utama.

“Contohnya ‘London Tube’…inilah cara sesebuah Kerajaan mengambil bahagian dalam melaksanakan dasar perindustrian di bandar, bukan sahaja untuk menangani masalah kesesakan trafik, malah untuk mengubah cara berfikir rakyat (supaya lebih memilih mengggunakan perkhidmatan pengangkutan awam),” jelasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Gambar: ALVIE CHENG