LWHNPP hulur bantuan dialisis, lancar sistem digital pengurusan kuil

Admin
dsc 0107

GEORGE TOWN – Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) terus memperkukuh peranan kebajikan dan pemodenan pengurusan apabila menyalurkan bantuan dialisis kepada 50 penerima serta melancarkan sistem pendigitalan pengurusan kuil.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai gabungan usaha kemanusiaan dan transformasi digital yang signifikan kepada komuniti.

dsc 0084
Gobind Singh Deo.

Menurut beliau, komitmen LWHNPP dalam menguruskan kuil-kuil serta menjaga kebajikan masyarakat Hindu di negeri ini wajar dijadikan contoh.

“Keprihatinan LWHNPP bukan sahaja terserlah dalam aspek pengurusan, malah turut membantu meringankan beban pesakit melalui bantuan kewangan bagi rawatan dialisis.

“Ia bukan sekadar bantuan material, tetapi memberi sinar harapan kepada penerima untuk meneruskan kehidupan dengan lebih berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Dialisis & Pelancaran Pendigitalan Sistem Pengurusan Kuil LWHNPP dekat Sri Krishna Kunj Baharu Mandir di sini semalam.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ahli Parlimen Jelutong yang juga Pengerusi LWHNPP, R.S.N. Rayer; Senator yang juga Timbalan Pengerusi LWHNPP, Dr. R.A. Lingeshwaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh dan Pengerusi Sri Kunj Bihari Mandir, Anel Sharma.

 

Gobind turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, khususnya Exco berkitan atas sokongan berterusan dalam menguruskan hal ehwal kuil dan masyarakat India sehingga keharmonian negeri terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan rundingan yang adil dan komunikasi telus merupakan kunci dalam menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat.

“Sebagai contoh, isu Kuil Bathrakaliamman di Kuala Lumpur berjaya diselesaikan dengan baik hasil kerjasama semua pihak,” ujarnya.

dsc 0119
Gobind Singh Deo menyempurnakan simbolik pelancaran sistem digital kuil.
dsc 0111
K. Poonyamitra yang mencipta nama dalam Malaysia Book of Records turut diraikan dalam majlis berkaitan.

dsc 0134Mengulas mengenai pelancaran sistem digital, Gobind berkata bahawa langkah tersebut selari dengan usaha memperkasa pendigitalan dalam pengurusan institusi komuniti.

“Pengurusan kuil secara digital akan meningkatkan ketelusan, memudahkan pentadbiran serta interaksi antara pengurusan dan penganut.

“Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi berkaitan sedia membantu dari segi latihan kemahiran digital, pelaksanaan pembayaran tanpa tunai serta jaminan keselamatan data,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak institusi komuniti memanfaatkan inisiatif tersebut agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

Dalam majlis sama, Gobind turut menyampaikan sumbangan tambahan sebanyak RM10,000 kepada pihak kuil serta RM50,000 bagi membantu 50 lagi pesakit dialisis sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kebajikan masyarakat.

Dalam majlis sama, turut diraikan pelajar berusia 14 tahun, K. Poonyamitra yang mencipta nama dalam Malaysia Book of Records menerusi pencapaian cemerlang dalam pertandingan memori dan akademik Bahasa Inggeris.

Gobind menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti keupayaan luar biasa generasi muda yang mampu mengharumkan nama negara melalui disiplin dan ketajaman minda.

Sementara itu, Lingeshwaran memaklumkan bahawa LWHNPP telah menyalurkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM1,000 kepada 50 pesakit dialisis daripada golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban kos rawatan mereka.

Katanya, kos rawatan dialisis yang dianggarkan antara RM150 hingga RM200 bagi setiap sesi merupakan beban besar kepada pesakit, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa yang menyaksikan peningkatan harga bahan berkaitan rawatan tersebut.

“Sebagai bekas Pengarah Hospital, saya amat memahami cabaran yang dihadapi pesakit dialisis.

“Kenaikan kos akibat faktor global termasuk konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada mereka.

“Justeru, LWHNPP tampil membantu golongan ini agar mereka dapat meneruskan rawatan tanpa tekanan kewangan yang berlebihan,” katanya.

Menurut beliau, sejak tahun 2023 hingga kini, seramai 1,251 penerima telah mendapat manfaat melalui pelbagai bentuk bantuan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.12 juta.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited menyokong usaha kebajikan melalui peruntukan tahunan kepada lembaga tersebut, yang kini meningkat kepada RM2 juta setahun di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow, berbanding RM1.5 juta sebelum ini.

“Melalui pengurusan kewangan yang berhemah, dana ini dapat disalurkan semula kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

dsc 0089Tambah beliau, dalam tempoh kurang tiga tahun, pelbagai projek pembangunan telah berjaya dilaksanakan termasuk pembinaan semula Kuil Ganesha Waterfall bernilai hampir RM1.1 juta, naik taraf Dewan Mahamariamman di Bagan (hampir RM700,000) serta kerja-kerja naik taraf sebuah kuil yang menelan kos melebihi RM400,000.

Pada masa sama, projek pembinaan kemudahan krematorium pertama di Seberang Perai yang dianggarkan bernilai RM2 juta kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

“Terima kadih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI atas peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi menjayakan projek ini.

“Setiap projek dilaksanakan ini telah melalui proses penilaian yang teliti dengan mengutamakan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar: LWHNPP