Macallum Rooftop Concert, hayati alunan muzik pelbagai budaya di atas bumbung

Admin

PENGKALAN KOTA – Selain mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya Pulau Pinang, penganjuran George Town Festival 2022 (GTF2022) kali ini turut membawa persembahan muzik istimewa secara langsung dari atas bumbung.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen berkata, penganjuran Macallum Rooftop Concert bagi edisi GTF2022 adalah unik kerana bukan sahaja diadakan di atas bumbung tetapi juga diadakan di dalam kawasan kediaman komuniti lokal di sini.

 

Penganjuran konsert ini adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai yang menggemari kepelbagaian muzik dan irama.

 

“Bagi penduduk di kawasan kejiranan (di Macallum) ini, mereka boleh menikmati alunan muzik dari dalam rumah bersama-sama keluarga dengan hanya membuka tingkap sahaja.

 

 

“Manakala, bagi orang ramai yang ingin turut serta, digalakkan untuk membawa kerusi dan tikar masing-masing untuk bersantai atau hadir ke lokasi konsert di sini.

 

“(Dan) pada masa sama, mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa konsert berlangsung,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini pada 2 Julai 2022.

 

Hadir sama, Pengarah Festival, Jack Wong; wakil daripada TLM Event Sdn. Bhd., Renee Ong serta wakil daripada pengurusan Kompleks Pulau Mutiara.

 

Menurut Zi Sen lagi, penganjuran konsert kali ini akan membawa kumpulan muzik pelbagai budaya, Cultural Shot dan penyanyi bersuara lunak, Chelsia Ng.

 

“Persembahan ini merangkumi pelbagai budaya daripada pelbagai bangsa, semua orang dapat menikmatinya.

 

“Jumpa anda di Macallum Rooftop Concert nanti,” katanya.

 

LOKASI bagi penganjuran Macallum Rooftop Concert pada 13 Julai ini.

 

Macallum Rooftop Concert bakal diadakan pada 13 Julai 2022 bertempat di Kompleks Pulau Mutiara dekat Gat Lebuh Macallum bermula 8:00 malam selama dua jam.

 

Sementara itu, Jack Wong ketika ditemui memaklumkan bahawa idea untuk mengadakan konsert di atas bumbung itu adalah daripada Zi Sen sendiri semasa seluruh negara dalam tempoh pandemik.

 

“(Dan) kali ini, sekali lagi kami berkolaborasi untuk membawa konsert ini kepada komuniti lokal di sini yang menjadi sebahagian acara menarik dalam penganjuran GTF2022.

 

“Dalam edisi ke-13 ini, penganjuran GTF2022 diadakan secara fizikal dengan lebih 80 aktiviti dan program adalah percuma.

 

“Jangan lepas peluang ini, jom turut serta dalam GTF2022,” serunya.

 

Maklumat lanjut berhubung penganjuran Macallum Rooftop Concert dan GTF2022 boleh didapati melalui laman sesawang GTF di https://georgetown festival.com/2022/. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : TAN KEAN MING