Madrasah terbakar terima RM5,000 sumbangan KM

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Madrasah Tahfiz AlQuran Raudhatul Ulum dekat Kampung Belat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Air Tawar yang terlibat dalam satu kejadian kebakaran baru-baru ini menerima sumbangan bantuan daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menyerahkan RM5,000 sumbangan bantuan itu kepada pemilik sekolah agama rakyat tersebut, Haji Abdollah Ahmad, 71.

“Sungguhpun madrasah hampir hangus, termasuk bahagian rumah Haji Abdollah sendiri, yang penting semua pelajar selamat,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan berkaitan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga ADUN Pantai Jerejak, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (ADUN Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Dato’ Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Di-Pertua DUN Pulau Pinang) serta Soon Lip Chee (ADUN Jawi) turut sertai sidang media tersebut.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa 12 pelajar yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu telahpun diurus pindah ke madrasah lain.

Manakala, Abdollah yang ditemui kemudian melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan tersebut.

“Saya terdengar bunyi pelik di tingkat atas dan ingatkan ada pelajar bergaduh. Saya sedar berlaku kebakaran apabila diberitahu oleh anak lelaki saya ada api di tingkat atas.

“Kami semua tak sempat menyelamatkan apa-apa, semuanya tinggal sehelai sepinggang.

“Tapi, terima kasih atas sumbangan yang disampaikan (oleh) pemimpin Kerajaan Negeri dan Y.A.B. Ketua Menteri sendiri,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara.

Hampir 80 peratus bangunan dua tingkat madrasah itu musnah dalam kejadian kebakaran pada 11 Mei lalu, kirakira jam 12.40 tengah malam.